Sabtu, 29 April 2017 | 12:03am

Ayam jintan ketumbar enak dimakan bersama nasi himpit

 AYAM Masak Jintan Ketumbar. - Foto Rosdan Wahid
AYAM Masak Jintan Ketumbar. - Foto Rosdan Wahid

MENJADI kebiasaan bagi kebanyakan suri rumah dek kerana rutin mereka memasak setiap hari menyebabkan kadangkala buntu apabila memikirkan hidangan untuk dinikmati keluarga.

Apa lagi bagi ibu bekerjaya, selain ingin memastikan anak dan suami dapat menikmati air tangan sendiri biarpun dalam kesibukan bekerja tentunya mereka mahukan hidangan yang ringkas dan mudah disediakan.

Minggu ini, Aroma Kulinari menampilkan resipi Ayam Jintan Ketumbar yang bukan saja enak untuk dinikmati sekeluarga tetapi lebih penting ia mudah dan ringkas untuk dimasak.

Penyediaannya tidak mengambil masa yang lama menjadikan ia mungkin hidangan yang paling sesuai bagi anda yang mempunyai waktu cukup terhad setiap hari untuk ke dapur.

CHEF Sue bersama menu Ayam Masak Jintan Ketumbar resepi dari Sue's White Kitchen Taman Sri Andalas. - Foto Rosdan Wahid
CHEF Sue bersama menu Ayam Masak Jintan Ketumbar resepi dari Sue's White Kitchen Taman Sri Andalas. - Foto Rosdan Wahid

Ringkas dan ideal

Resipi disediakan oleh Cef Suwarsi M Arukin atau Chef Sue dari Sue's White Kitchen ini mengambil masa penyediaan kurang dari setengah jam untuk membolehkan anda menikmati hidangan enak sekeluarga.

Cef Sue berkata, hidangan ini bukan saja mudah dan ringkas tetapi paling ideal untuk mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan.

"Hidangan ini tidak menggunakan santan dan hanya memerlukan sedikit minyak untuk menumis. Tetapi jika anda amat mengambil berat soal pemakanan semua bahan berkenaan boleh dimasak sekali gus tanpa menumis.

"Hanya masak sekali gus bahan yang dikisar bersama air, biarkan mendidih hingga ayam masak dan kering," katanya.

Beliau berkata, hidangan ini bukan saja enak dimakan bersama nasi tetapi juga boleh dinikmati bersama ketupat nasi atau lemang sebagai menggantikan rendang selain boleh dimakan bersama roti.

Resepi Ayam Jintan Ketumbar

Bahan-bahan A:

1 ekor ayam - potong kecil

2 batang serai - titik

2 keping asam gelugur

2-3 helai daun salam

1-2 sudu makan gula merah

Garam secukup rasa

Air secukupnya

Minyak untuk menumis

Bahan-bahan B (kisar hingga lumat):

10 biji bawang merah

5 ulas bawang putih

5 biji buah keras

2 sudu makan ketumbar

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh jintan putih

4 sm kunyit hidup

Cara-cara:

1.Di dalam kuali panaskan dua sudu makan minyak lalu tumis pes bahan B hingga terbit minyak.

2.Masukkan ayam, serai dan air.

KLANG 14 APRIL 2017. Ayam Masak Jintan Ketumbar resepi dari Sue's White Kitchen Taman Sri Andalas. NSTP/ROSDAN WAHID untuk step by step Aroma Kulinari WARTAWAN/HAFZANROSDAN WAHID
KLANG 14 APRIL 2017. Ayam Masak Jintan Ketumbar resepi dari Sue's White Kitchen Taman Sri Andalas. NSTP/ROSDAN WAHID untuk step by step Aroma Kulinari WARTAWAN/HAFZANROSDAN WAHID

3. Masukkan asam gelugur, gula merah , daun salam dan didihkan hingga ayam agak lembut.

4.Masukkan daun salam, gula dan garam secukup rasa. Tambah air jika perlu.

5.Didihkan (sambil mengacaunya sesekali) dengan kuali bertutup hingga semua bahan sebati. Jika suka berkuah, jangan didihkan terlalu lama. Sedia untuk dihidang.

Info:

Mahu lebih pedas

*Jika suka boleh tambah sedikit santan (setengah cawan) dalam masakan.

*Tambahkan beberapa cili padi jika suka pedas.

*Cili padi tidak perlu potong atau tumbuk.

*Selain ayam, daging atau makanan laut juga boleh jadi pilihan.

Berita Harian X