Khamis, 27 April 2017 | 12:10am

'Kami masih hanya kawan seperti dulu' - Mira Filzah

KUALA LUMPUR: Tenang berdepan kontroversi, aktres jelita, Mira Filzah menjelaskan kemesraan antara dirinya dengan pelawak terkenal, Zizan Razak, hanya sebagai kawan.

"Mira selesa berkawan dengan Zizan. Kami mengacarakan ABPBH 29 dan berlakon dalam Jula Juli Bintang Cinta. Tahu sajalah perangai Zizan, jadi kami tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta keserasian ketika penggambaran di Langkawi.

"Bayangkan, ada saja gelagat Zizan yang membuat saya terhibur sepanjang berada di lokasi. Zizan pula agak spontan, terutama ketika melontarkan dialog. Alhamdulillah, keserasian kami disenangi pengarah," katanya teruja peluang beraksi di bawah arahan Osman menjadi nyata.

Gosip Mira dan Zizan dilamun cinta tersebar sebaik mereka selesai mengacarakan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, tahun lalu

PELAKON, Mira Filzah dan Zizan Razak. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Mira Filzah dan Zizan Razak. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ketika di pentas ABPBH 29 bersama hos gandingan Haiza dan AG, gelagat Zizan dan Mira mula mengumpan perhatian peminat. Apatah lagi, Zizan kerap 'mengusik' Mira hingga timbul gosip mengaitkan mereka berdua.

Namun, hingga hari ini, baik Mira mahupun Zizan, masing-masing belum memberi jawapan pasti sejauh manakah hubungan mereka.

Melihat mereka digandingkan pengarah Osman Ali dalam telefilem, Jula Juli Bintang Cinta yang disiarkan Astro, baru-baru ini, menambah spekulasi kononnya pasangan ini menyembunyikan sesuatu.

Gosip panas mendakwa Mira dan Zizan sebenarnya lebih daripada kawan kembali hangat diperkatakan. Apakah dua calon ABPBH 3.0 ini sebenarnya menjalin hubungan dalam senyap atau sekadar meraih publisiti murahan?

GOSIP Mira dan Zizan dilamun cinta tersebar sebaik mereka selesai mengacarakan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, tahun lalu.
GOSIP Mira dan Zizan dilamun cinta tersebar sebaik mereka selesai mengacarakan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, tahun lalu.

Mendekati Mira, gadis berusia 23 tahun ini mengaku tiada apa yang berubah antara dirinya dan Zizan.

"Kami masih berkawan seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Apa yang dikaitkan dalam laman sosial antara kami termasuk usikan itu dan ini, semuanya lumrah. Itu tanda peminat menyokong kami dan kerjaya masing-masing.

"Mira tak kisah dan okay dengan situasi itu. Ia perkara baik. Mira melihatnya dari sudut positif," katanya kepada BH Plus.

Layan peminat macam kawan

MIRA dan Zizan masih belum memberi jawapan pasti sejauh manakah hubungan mereka. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
MIRA dan Zizan masih belum memberi jawapan pasti sejauh manakah hubungan mereka. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mengimbas kenangan mengendalikan ABPBH 29 termasuk memenangi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Mira yang 'meledak' selepas membintangi drama Cinta Si Wedding Planner, mengaku apa yang dilalui cukup indah.

"Peluang menjadi hos membuka ruang yang besar dan berharga dalam hidup Mira. Mira menggunakan peluang itu sebaik mungkin. Alhamdulillah, selepas ABPBH, rezeki semakin murah baik dalam bidang lakonan dan pengacaraan," katanya.

Mira mengakui dia makin selesa dalam bidang pengacaraan.

"Peluang mengacarakan pertandingan 3 Juara dan Mahligai Cinta musim ke-10 cukup manis bagi Mira," katanya.

Mira berkata, ABPBH membuka mata ramai pihak terhadap kehadirannya dalam dunia seni.

"Ruang kerjaya Mira terbuka luas. Mira dapat mendedahkan diri dengan ramai orang. Sebelum ABPBH, masih ramai belum mengenali Mira. Selepas muncul di pentas ABPBH, ramai pihak termasuk dalam kalangan industri dan penerbit mula kenal Mira," katanya.

Mengenai pencalonan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH 3.0, Mira tidak meletakkan harapan menggunung, namun dia gembira kerana ukhwahnya bersama kelab peminat, Miralegacy terjalin baik.

"Pada hari jadi Mira yang ke-23 pada 2 April lalu, Miralegacy meraikannya. Mira perasan muka sama yang tak pernah jemu datang memberi sokongan termasuk pada acara hiburan.

"Hubungan kami makin rapat. Malah, kalau Mira tak dapat hadir pada mana-mana acara, mereka tetap datang. Ada yang sudah jadi kawan lepak dan berkaraoke. Hubungan kami jadi rapat macam sebuah keluarga baharu," katanya.

Bakal berlakon filem pertama

NUR Amirah Filzah Badioezaman atau lebih dikenali sebagai Mira Filzah. - Foto Aziah Azmee
NUR Amirah Filzah Badioezaman atau lebih dikenali sebagai Mira Filzah. - Foto Aziah Azmee

Mira yang sedang melunaskan penggambaran musim ke-10 program Mahligai Cinta di TV3 berkata, pihak produksi mahu menyambung musim terbaharu selepas Aidilfitri.

"Mira juga akan terbabit dengan penggambaran filem sulung. Pada masa sama, Mira sedang menunggu tarikh penggambaran drama Kelip Kelip Kota London. Selain kerjaya, Mira memberi tumpuan kepada bidang perniagaan," katanya.

INFO

* Nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman

* Menyambut usia 23 tahun pada 2 April lalu.

* Memenangi kategori Heroin Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.

* Mencipta nama selepas membintangi drama Cinta Si Wedding Planner yang disiarkan pada 30 Disember 2015.

* Turut terbabit dalam projek khas drama pendek berganding dengan Randy Pangalila untuk siaran YouTube.

Berita Harian X