Rabu, 19 April 2017 | 12:15am
SULASMI Sukirman menunjukkan sebahagian labu moden untuk tujuan hiasan dan cenderahati yang dihasilkan di premisnya. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
LABU sayong masih digunakan untuk menyimpan air minuman walaupun reka bentuk berubah mengikut arus permodenan. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
LABU sayong tradisional (kiri) masih mendapat permintaan khususnya yang bersaiz kecil bagi dijadikan cenderahati sewaktu majlis keraian. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ANTARA reka bentuk labu yang mendapat perhatian pembeli.
SULASMI menunjukkan proses menghancur serta melembutkan tanah liat sebelum ditapis bagi dimasukkan ke dalam acuan. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Labu Beranak dihasilkan dengan tangan

KUALA KANGSAR: Sejajar perubahan fungsinya sebagai tempat menyimpan air minuman kepada bahan perhiasan atau dekorasi, penghasilan labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat telah melalui evolusi aspek reka bentuk dan coraknya.

Labu Beranak, antara contoh reka bentuk atau kreativiti baharu yang terhasil bagi menyesuaikan dengan kehendak masa ini.

Berbanding labu sayong tradisional yang terkenal dengan identiti tersendiri khususnya di daerah ini dan di Perak amnya, penghasilan terkini menggunakan pelbagai bentuk, corak, ukiran dan warna menampilkan kelainan yang kebanyakan dijadikan perhiasan dan cenderamata.

LABU beranak yang dihasilkan tanpa menggunakan acuan antara labu sayong jenis tradisional yang menggamit perhatian. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Xtream Crafts Sayong yang terletak di Kampung Sayong Tengah, di sini, milik pasangan suami isteri, Sulasmi Sukirman, 36, dan Julkifly Amir Hashim, 55, antara yang tampil dengan rekaan labu tersendiri dan unik.

Sulasmi berkata, kebanyakan labu versi moden hadir dengan reka bentuk berlubang-lubang yang kebanyakannya untuk tujuan hiasan termasuk lampu dan cenderahati berikutan penggunaannya untuk menyimpan air amat kurang pada zaman sekarang.

Katanya, bagi penghasilan Labu Beranak, ia dihasilkan dengan hanya menggunakan tangan namun hasilnya seakan sama dengan kualiti labu dihasilkan menggunakan acuan.

"Keistimewaan Labu Beranak ini adalah pada coraknya sahaja selain ia dibuat tanpa menggunakan acuan.

"Sebenarnya jenis ini tidak boleh dibuat menggunakan acuan kerana labu-labu kecil pada labu utama tidak akan melekat kukuh jika dibuat melalui proses penampalan atau penyambungan.

"Selain itu, tidak semua orang tahu dan mahir membuat labu tanpa acuan apatah lagi memastikan ukiran labu kecil melekat kuat ketika masih lembut sebelum melalui proses jemur dan bakar," katanya.

REKA bentuk labu berukir dan tulisan kaligrafi berlubang tertera kalimah 'Allah' dan 'Muhammad' sering mendapat permintaan kerana ia jarang dihasilkan di tempat lain. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Selain Labu Beranak, Sulasmi berkata reka bentuk labu berukir dan tulisan kaligrafi berlubang tertera kalimah 'Allah' dan 'Muhammad' sering mendapat permintaan kerana ia jarang dihasilkan di tempat lain selain sesuai dipadankan dengan lampu yang diletakkan di dalamnya bagi menghasilkan corak terbit cahaya yang membentuk dua kalimah suci itu.

Beliau berkata, penghasilan labu khusus untuk menyimpan air turut melalui perubahan aspek kreativiti termasuk saiznya lebih besar dan mempunyai kepala paip bagi memudahkan pengguna memasukkan air ke dalam gelas untuk diminum.

"Ini juga dipanggil labu kerana diperbuat daripada tanah liat dan melalui proses pembuatan sama walaupun dari segi bentuknya tidak seperti buah labu sebagaimana penghasilan labu sayong," katanya.

Menceritakan proses pembuatan labu, Sulasmi berkata tanah liat akan dihancurkan terlebih dahulu sebelum ditapis bagi diletakkan ke dalam acuan lalu dilicinkan serta menjalani proses ukiran dalam masa sama sebelum kemudian dijemur untuk mengeraskannya lalu dibakar bagi menguatkan ketahanannya daripada terhakis atau terpecah.

SELAIN labu, Xtream Crafts Sayong turut menghasilkan replika Piala Dunia sukan bola sepak berserta kasut sukan berkenaan yang dikatakan tidak dibuat di tempat lain. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SELAIN labu, Xtream Crafts Sayong turut menghasilkan hiasan lain yang diperbuat daripada bahan dan dengan teknik penghasilan yang sama seperti pembuatan labu. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Keistimewaan pada labu keluaran di mukim Sayong ini terletak pada ketahanannya disebabkan dua perkara iaitu jenis tanah liat yang begitu likat digunakan selain dibakar dengan suhu tinggi mencecah 1,800 hingga 2,000 darjah celcius.

"Walaupun jenis tanah yang diambil dari sungai di kampung berdekatan mungkin juga ada di tempat lain, namun kawasan di sini kurang diteroka menyebabkan mukim Sayong ini terkenal dengan pembuatan labu dari tanah liat," katanya.

Sulasmi berkata, selain labu terdapat beberapa hiasan lain dihasilkan Xtream Crafts daripada tanah liat yang sesuai dijadikan cenderahati dan hiasan termasuk replika Piala Dunia yang dikatakan tidak dihasilkan di tempat lain di samping hiasan lain seperti tabung serta labu mini yang sesuai dijadikan cenderahati sewaktu majlis keraian.

Katanya, ketika labu moden mendapat perhatian, permintaan labu sayong tradisional tetap ada khususnya bagi mereka yang sudah berusia namun tidak sebanyak permintaan bagi labu moden.

"Saya dan suami bersyukur jualan labu tetap laris sama ada labu yang dibuat mengikut tempahan mahupun labu mini yang sedia disiapkan secara harian menjangkaui 200 hingga 300 unit sehari walaupun ada yang mendakwa pengkomersialan labu sayong sudah kurang mendapat tempat di mata masyarakat," katanya.

Berita Harian X