Jumaat, 7 April 2017 | 12:06am

Doa kemuncak hubungan dengan Ilahi

DOA dimakbulkan pada masa yang wajar ditentukan Allah. - Foto hiasan
DOA dimakbulkan pada masa yang wajar ditentukan Allah. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Al-Mufassirun menyatakan, antara sebab nuzul ayat ini kerana memberi reaksi kepada seorang A'rabi yang datang bertanya Nabi SAW mengenai Tuhan, sama ada Dia dekat untuk dibisikkan-Nya atau jauh untuk diseru-Nya dengan suara yang tinggi, lalu Allah SWT menurunkan ayat itu.

Tak perlu mengangkat suara

Seseorang tidak perlu mengangkat suara, memadailah dengan bisik-bisik tanpa mengangkat suara kerana Allah SWT sangat dekat kepada hamba-Nya. Bagaimanapun, dekat dan jauh yang dimaksudkan dalam ayat tidak membawa erti sebagaimana dekat dan jauhnya manusia sesama mereka di alam kebendaan ini.

Jauh dan dekatnya Allah SWT adalah sesuai dengan Zat-Nya yang Maha Sempurna daripada sebarang kekurangan. Ayat ini secara tidak langsung mengandungi dorongan untuk berdoa kepada Allah SWT setiap masa dan ketika dengan cara yang betul.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut, ayat ini diturunkan apabila Nabi SAW mendengar kaum Muslimin berdoa dan bertakbir kepada Allah SWT dengan suara yang keras (kuat) dalam perang Khaibar, lalu Nabi SAW bersabda kepada mereka: "Wahai manusia! Berlembutlah kepada dirimu (daripada berdoa dengan suara yang keras), kerana kamu bukan menyeru Zat yang tuli dan ghaib, tetapi kau menyeru kepada Tuhan Yang Maha Mendengar yang sentiasa bersama kamu." (Riwayat Bukhari)

Allah SWT Maha Mengetahui keadaan hamba-Nya dan Maha Mendengar percakapan mereka. Justeru, Allah SWT memperkenankan doa orang yang berdoa dan membalas amalan mereka. Allah SWT menggalakkan manusia sentiasa berdoa kepada-Nya kerana doa itulah kemuncak hubungan Allah SWT dan hamba-Nya.

Dia amat hampir kepada manusia. Dia sangat mendengar bisikan hati dan bersedia memperkenankan permohonan orang yang memohon kepada-Nya. Seorang hamba tidak patut bersuara lantang ketika berdoa dan beribadah, kecuali ia sesuai dengan sesuatu yang sudah ditetapkan sendiri oleh agama.

Contohnya, dalam sembahyang bacaan imam hendaklah dapat didengar oleh makmum yang berhampiran dengannya. Orang yang sengaja bersuara keras dengan cara berlebih-lebihan ketika berdoa, pasti perkara ini bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Seseorang yang berdoa perlu ingat, doa dengan lidah semata-mata tanpa usaha gigih dan perjuangan berterusan tidak akan berjaya di samping terdapat halangan yang menyekat daripada dimakbulkan doa seperti melakukan dosa besar, makan minum daripada sumber haram dan berdoa dengan hati lalai.

Tiga golongan tidak ditolak doa

Sabda Rasulullah SAW: "Tiga golongan tidak ditolak doa mereka: pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang teraniaya, doanya akan diangkat oleh Allah pada Hari Kiamat di bawah awan dan kerananya akan dibuka pintu-pintu langit dan Allah berfirman: Demi kemuliaan-Ku! akan Aku tolong engkau sekalipun berlalu satu ketika." (Riwayat Ibnu Majah)

Doa dimakbulkan Allah SWT tetap dimakbulkan, tetapi disempurnakan pada masa yang wajar ditentukan oleh Allah SWT mengikut hikmah kebijaksanaan-Nya. Manusia selalu gopoh dan minta disegerakan perkenan-Nya dan orang yang belum mempunyai hubungan rapat dengan Allah SWT selalu dilanda dengan perasaan jemu dan putus asa.

Allah SWT memperkenankan doa Nabi Ibrahim dan Ismail AS dengan membangkitkan Nabi Muhammad SAW selepas berlalu beberapa abad. Itulah kebangkitan rasul daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat Allah SWT, mengajarkan kitab suci dan membersihkan mereka daripada dosa.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X