Isnin, 3 April 2017 | 12:03am
SHEILA menganggap Janna seperti anak sendiri.
SHEILA menganggap Janna seperti anak sendiri.

Kenapa Janna Nick kesayangan saya - Sheila Rusly

PENERBIT drama, Sheila Rusly, menganggap pelakon berbakat, Janna Nick, cukup istimewa, malah tidak ubah seperti dirinya sendiri.

Tidak kisah dengan tanggapan orang ramai, termasuk kononnya Janna ialah artis kesayangannya, Sheila yang juga pemenang lima kali trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) berkata, hubungannya dengan pelakon yang sering menghiasi drama atau telefilem terbitannya itu memang rapat.

AKTIVITI santai Sheila bersama keluarga dan Janna.
AKTIVITI santai Sheila bersama keluarga dan Janna.

Sebelum ini, pemilik syarikat JS Pictures bersama suaminya, Azman Yahya atau Jinggo, sering mengambil pelakon sama kegemarannya untuk produk keluaran mereka. Bahkan, ada segelintir pihak menganggapnya sebagai penerbit yang 'memilih bulu'.

Namun, Janna yang diperkenalkan menerusi drama Syurga Nur bagai mempunyai hubungan luar biasa dengan Sheila, hingga kedua-duanya cepat menjadi akrab hingga sekarang. Malah, keakraban mereka membolehkan kedua-duanya melepak bersama, termasuk menonton wayang berdua.

"Memang tak pernah ada artis lain yang rapat dengan saya seperti Janna. Dia bahkan pun rapat dengan keluarga saya. Dia umpama mini Sheila Rusly.

Sheila Rusly dan suami, Azman Yahya atau Jinggo.
Sheila Rusly dan suami, Azman Yahya atau Jinggo.

"Entah, saya kuat mengatakan dia akan menjadi seperti Sheila Rusly Junior. Sudah banyak ilmu saya perturunkan kepadanya dalam dunia lakonan. Saya harap dia akan manfaatkan semua itu ke arah kebaikan.

"Kalau orang cakap dia kesayangan pun, saya tak boleh nafikan. Dia sudah saya anggap seperti anak sendiri. Tak tahulah apa yang buat kami jadi serasi? Bukan nak cakap saya tak suka dan tidak rapat bersama artis lain, seperti dengannya. Saya sayang semua pelakon yang pernah bekerjasama dengan JS Pictures.

"Bagaimanapun dengan Janna, ia agak berbeza. Kami bagai memiliki hubungan semula jadi. Kalau orang bercakap mengenainya, saya jadi terlebih sensitif. Begitu juga sebaliknya," kata Sheila.

PENERBIT drama, Sheila Rusly dan pelakon berbakat, Janna Nick.
PENERBIT drama, Sheila Rusly dan pelakon berbakat, Janna Nick.

Pada satu tahap, hubungan dua artis terbabit bagaikan anak dan ibu.

"Kami boleh bergaduh seperti anak beranak, dan boleh terasa hati sesama sendiri. Kalau tak berjumpa, mula rasa rindu. Kalau dia nak datang ke rumah pula, saya beriya-iya tanya dia nak makan apa? Kalau dia nak bertandang ke rumah, gembira saya bukan kepalang. Jadi teruja begitu sekali. Anak saya dan suami pun boleh 'ngam' dengannya," katanya.

Pertemuan Sheila dan Janna berputik ketika proses mencari pelakon drama Syurga Nur sekitar 2015. Drama itu turut melonjakkan populariti pelakon wanita terbabit. Malah, kerjaya lakonan Janna terus mencanak selepas membintangi drama Kau Aku Kita, bergandingan dengan Saharul Ridzwan, juga terbitan Sheila.

SHEILA Rusli bersama keluarga dan Janna.
SHEILA Rusli bersama keluarga dan Janna.

"Dia (Janna) datang untuk diuji bakat ketika saya berada di lokasi drama Suami Sebelah Rumah, yang dibintangi Ayda Jebat. Ketika itu dia dengan gaya selamba datang ke lokasi penggambaran. Memang dia jenis selamba. Waktu itu, saya ambil masa untuk menguji bakatnya bagi mencari pelakon untuk watak utama, Nur Jannah.

"Kali pertama saya melihatnya, saya dapat rasa dia memang ada 'sesuatu' dan aura tersendiri. Dia juga jenis yang berani. Saya suka artis yang berani sepertinya kerana dari situ, kita tahu mereka boleh mencabar diri. Ketika itu juga, pengikutnya di laman Instagram hanya dalam 20,000 orang saja.

"Saya yakinkan pihak TV3 dia boleh pegang watak utama. Ikutkan, tawaran itu hampir ditolaknya kerana berbelah bagi dengan undangan lain. Namun akhirnya dia pilih produksi saya. Alhamdulillah, Syurga Nur menjadi salam pengenalan buatnya. Seterusnya menerusi drama Kau Aku Kita, pengikutnya terus mencanak naik. Sekarang dia sudah pun memiliki lebih 2 juta pengikut di Instagram," katanya.

Akui Sheila, percaturannya untuk memilih Janna sememangnya menjadi.

"Dari awal lagi saya yakin dengannya. Saya pernah cakap kepadanya, dia bakal meletup. Akhirnya ia menjadi kenyataan. Lihatlah dirinya sekarang. Saya pernah mengambil gambar dengannya dengan menulis keterangan gambar, superstar dilahirkan di sini (JS Pictures).

"Selepas Syurga Nur, saya rancang Kau Aku Kita dan Anakku Diva untuknya. Kiranya dalam setahun, ada beberapa projek lakonan untuknya.

"Sebagai pelakon baharu ketika itu, memang dia memerlukan banyak produk untuk mengetengahkan dirinya. Cuma pada tahap sekarang, saya harap dia terus konsisten dan jangan cepat melatah berdepan kontroversi bertali arus," katanya.

Mengenali Janna yang dilihat berperwatakan kasar, Sheila mengakui perlu mengawal gaya berjalan dan intonasi pelakon itu ketika membintangi Syurga Nur.

"Saya kena 'lembutkan' dia ketika drama Syurga Nur. Tapi untuk Kau Aku Kita, watak yang dilakonkan sesuai dengan dirinya. Cuma, untuk drama Kau Aku Kita, dia kena potong rambut. Percubaannya untuk drama itu juga menjadi hingga menang anugerah pada DFKL, sekalipun dikecam.

"Ketika itu, peminat lebih inginkan Saharul diganding dengan Mia Ahmad, yang terlebih dulu mencipta fenomena dalam dalam Hati Perempuan. Namun, sudah tertulis rezeki Janna untuk terus menyerlah," katanya.

INFO

Sheila Rusly

* Dikenali dengan panggilan Sis dalam kalangan pelakon dan produksi

* Pemenang anugerah Artis Komedi Wanita ABPBH sebanyak lima kali

* Mempunyai produksi sendiri, JS Pictures Sdn Bhd.

* JS ialah gabungan nama suaminya Jinggo (J) dan dirinya sendiri, Sheila (S).

* Sinonim dengan program kendalian dan terbitannya sendiri iaitu Ketuk Ketuk Ramadan.

Berita Harian X