Ahad, 2 April 2017 | 12:04am

Fazura tak kisah dianggap pengganti Neelofa

KUALA LUMPUR: Bukan lagi rahsia apabila watak utama drama bersiri 'Hero Seorang Cinderella' iaitu Nura Medina menjadi milik aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin.

Perkara itu disahkan sendiri pengarah drama itu, Michael Ang kepada BH Online, semalam.

Bakal beraksi di samping Fattah Amin yang mencetus fenomena menerusi drama rantaian, 'Suri Hati Mr Pilot', penjelasan Ang itu sekali gus menjawab pelbagai spekulasi bertebaran sebelum ini apabila aktor terbabit memutuskan untuk tidak lagi berlakon di samping Neelofa, gandingannya dalam penerbitan popular itu.

Keterbukaan Fazura menerima watak dalam drama bersiri 24 episod itu juga secara tidak langsung membuktikan dirinya teguh dengan pendirian untuk sentiasa profesional mempertimbangkan setiap tawaran yang datang.

Bagi Fazura, tawaran itu datang tepat pada waktunya malah tidak mempunyai masalah jika segelintir pihak melihat pemilihannya itu sebagai pengganti pelakon pilihan asal.

"Bagi saya, ini adalah rezeki diberikan Allah. Mungkin hari ini saya menggantikan tempat pelakon lain, mungkin esok, akan ada pelakon lain menggantikan tempat saya. Rezeki tidak boleh dijangka, sama seperti dalam soal jodoh dan ajal.

"Saya percaya kalau sesuatu itu tidak bagus, pasti akan ada banyak rintangan yang terpaksa saya hadapi. Dalam hal ini, semuanya dipermudahkan dan segala urusan berjalan dengan lancar," kata Fazura kepada BH Plus.

FAZURA (kanan) tak kisah dianggap pengganti Neelofa. - Foto NSTP
FAZURA (kanan) tak kisah dianggap pengganti Neelofa. - Foto NSTP

PELAKON, Fattah Amin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Fattah Amin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tidak khuatir tempias kontroversi

Sejak awal lagi, pelbagai cerita sensasi mengenai drama ini menjadi bahan bualan netizen. Bermula dengan kisah barisan utamanya hingga proses pencarian pelakon wanita yang layak, perdebatan itu mencetuskan pelbagai kontroversi.

Apakah Fazura tidak gusar andai tempias kontroversi itu terkena kepadanya, sama seperti yang pernah berlaku sebelum ini? Menjawab pertanyaan itu, pelakon kelahiran Pekan, Pahang ini ternyata sudah bersedia dengan perkara itu.

Bagi Fazura, semua itu lumrah yang perlu dilalui anak seni sepertinya.

"Selagi cerita itu berada dalam kelompok keluarga produksi 'Hero Seorang Cinderella', saya tak kisah. Cuma saya tak mahu ia datang daripada mereka yang tidak berkenaan. Saya bersikap terbuka, terutama apabila peminat mula mewujudkan label mengenai gandingan saya dan Fattah.

"Tidak dinafikan, Fattah mempunyai kelompok peminat tersendiri dan saya juga mempunyai penggemar setia yang tidak jemu-jemu menyokong. Saya terima semua itu seadanya. Ada yang suka saya berlakon dalam drama ini, ada juga yang sebaliknya.

Fazura bersikap terbuka apabila peminat mula mewujudkan label mengenai gandingannya dan Fattah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Fazura bersikap terbuka apabila peminat mula mewujudkan label mengenai gandingannya dan Fattah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

AKTRES jelita, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AKTRES jelita, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Bagi saya itu semua adalah lumrah. Apa yang penting, saya akan lunaskan tanggungjawab saya dalam drama ini dengan baik," kata pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini.

Turut bertiup khabar memaklumkan, hati Fazura tertambat untuk menerima tawaran itu kerana habuan lumayan yang diberikan hingga menyukarkannya menolak daripada membintangi produksi yang kini dalam penggambaran.

"Saya rasa bayaran yang diberikan produksi itu sesuai dengan tahap senioriti. Tidak mungkin mereka masih mahu membayar khidmat saya dengan nilai yang dahulu. Setiap artis, nilai bayaran mereka berbeza dan itu perkara normal.

"Apa salahnya jika pelakon diberikan bayaran yang setimpal dengan usaha. Dalam hal ini, semua pihak perlu mainkan peranan. Pelakon juga harus ada pendirian," tegas pelakon berusia 33 tahun ini yang memulakan penggambaran drama bersiri itu semalam.

FAZURA sentiasa profesional mempertimbangkan setiap tawaran yang datang. - Foto Mahzir Mat Isa
FAZURA sentiasa profesional mempertimbangkan setiap tawaran yang datang. - Foto Mahzir Mat Isa

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X