Khamis, 30 March 2017 | 12:07am

Risiko pemilik darah ganjil

KUALA LUMPUR: Terdapat tidak sampai 30 pemilik darah jenis Bombay dan hanya dua orang bagi kumpulan darah Indian di negara ini menyebabkan mereka berdepan padah jika ditimpa musibah.

Timbalan Pengarah II, Pakar Perunding Kanan Patologi (Hematologi), Pusat Darah Negara (PDN), Dr Afifah Hassan, berkata bilangan mereka yang memiliki darah jenis ganjil itu adalah berdasarkan rekod penderma darah di PDN.

Katanya, usaha menyelamatkan nyawa mereka pasti sukar jika berlaku kemalangan dan pesakit kehilangan banyak darah berikutan bekalan darah yang amat terhad.

"Contoh darah jenis ganjil yang ditemui ialah daripada kumpulan Kidd (Jka-b-), kumpulan Duffy (Fya-b-), kumpulan darah Indian (Indian a+b-) dan beberapa jenis darah lain.

"Kumpulan darah ganjil boleh didefinisikan sebagai kumpulan darah yang sukar ditemui dalam satu-satu populasi masyarakat. Di Malaysia, kumpulan darah ini adalah satu dalam seribu populasi (1:1,000).

TIMBALAN Pengarah II, Pakar Perunding Kanan Patologi (Hematologi), Pusat Darah Negara (PDN), Dr Afifah Hassan.
TIMBALAN Pengarah II, Pakar Perunding Kanan Patologi (Hematologi), Pusat Darah Negara (PDN), Dr Afifah Hassan.

GRAFIK BH.
GRAFIK BH.

"Jika pesakit mempunyai kumpulan darah ini, kita perlu mencari darah yang sesuai dan serasi bagi membolehkan mereka menerima transfusi darah," katanya kepada BH Plus.

Dr Afifah berkata, bilangan untuk penderma darah ganjil yang didaftarkan daripada jenis lain juga adalah sangat terhad.

"Ini pastinya menyukarkan PDN untuk membekalkan darah sekiranya ada pesakit yang memiliki kumpulan darah ganjil memerlukannya sama ada untuk pembedahan mahupun pemindahan darah," katanya.

Beliau berkata, darah jenis Bombay biasanya ditemui dalam kalangan masyarakat India, manakala jenis Fya-b- pula membabitkan warga Asia Barat dan Afrika.

"Sebagai contoh, keperluan darah jenis Fya-b- meningkat apabila kita memperkenalkan program Pelancongan Kesihatan, yang mana ramai pesakit dari Arab, Yaman dan Afrika datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

"Untuk bekalan darah jenis ini, PDN memperolehnya daripada pelajar negara berkenaan yang belajar di sini. Demi keselamatan, identiti semua penderma darah PDN dirahsiakan. Mereka hanya dipanggil PDN apabila diperlukan," katanya.

PAKAR transfusi darah PDN, Dr Nor Hafizah Ahmad.
PAKAR transfusi darah PDN, Dr Nor Hafizah Ahmad.

Sementara itu, pakar transfusi darah PDN, Dr Nor Hafizah Ahmad, berkata bagi warga asing yang ingin menderma darah, pusat itu memiliki kriteria ketat sebelum membenarkan mereka berbuat demikian.

"Kalau setakat datang melancong ke Malaysia, melihat ada kempen derma darah dan ingin menderma, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

"Bagi memastikan keselamatan produk darah, mereka seharusnya tinggal di negara ini selama setahun, mempunyai alamat tetap, mudah dihubungi dan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana sekiranya terdapat sebarang masalah, PDN perlu mengesan penderma terbabit untuk membolehkannya menjalani pemeriksaan lanjut," katanya.

INFO

  • Darah Bombay adalah kumpulan darah Hh.
  • Ditemui di Bombay (Mumbai, India) oleh Dr YM Bhende pada 1952.
  • Sistem darah ditemui Karl Landsteiner pada 1908.
  • Terdapat 35 kumpulan darah di dunia, biasanya kumpulan darah A, B dan O.
Berita Harian X