Jumaat, 24 March 2017 | 12:03am

Sesal kemudian tidak berguna

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

"DAN sesiapa yang derhaka kepada Allah dan rasul-Nya, dan melampaui batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina." (Surah an-Nisa, ayat 14)

Ahli tafsir ketika menghuraikan maksud maksiat atau derhaka dalam ayat ini ialah perbuatan menolak hukum pusaka kepada wanita dan kanak-kanak.

Sebahagian ulama tafsir berpendapat, maksiat merujuk perbuatan memberi wasiat dengan tujuan memudaratkan hak penerima pusaka dan hukumnya dosa besar.

Mengikut keterangan zahir ayat ini, seolah-olah pelaku maksiat dimasukkan ke neraka dan kekal di dalamnya. Namun ia bertentangan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik menyekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya)." (Surah an-Nisa, ayat 48)

Bagi memberi kefahaman bahawa tidak ada percanggahan ayat itu, ulama memberi beberapa penjelasan bahawa maksiat yang dimaksudkan ialah maksiat kufur. Jika maksiat yang dimaksudkan ialah dosa besar atau melanggar perintah Allah SWT, maka mereka dimasukkan ke neraka untuk tempoh yang lama.

Dibelit dosa

Imam al-Tabari menjelaskan, pelaku maksiat kekal dalam neraka jika di samping melakukan maksiat, dia meragui kebenaran Islam yang wajib disempurnakannya.

Manusia melakukan dosa kerana didorong keinginan atau sikap marah kepada orang lain sehingga mereka lupa terhadap perintah Allah SWT. Mereka melakukan perbuatan dosa pada saat hatinya tidak ingat dengan ancaman Allah SWT.

Manusia juga melakukan maksiat apabila telah dibelit dosa dan lebih suka mengutamakan syahwat daripada mentaati Allah dan rasul-Nya. Mereka melakukan dosa secara terang-terangan walaupun memahami adanya larangan.

Orang seperti itu termasuk dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah, ayat 81)

Mereka yang terus menerus melakukan perbuatan dosa secara sengaja bukanlah daripada kalangan yang beriman kepada Allah SWT dan mahu beriman syariat-Nya. Melakukan dosa berterusan dan tidak berasa takut atau menyesal bukanlah sifat mukmin yang membenarkan janji serta ancaman Allah SWT.

Hindari maksiat

Oleh itu, mereka yang melakukan perbuatan dosa akan menerima azab seperti kesakitan dirasakan oleh jasad sementara azab dari segi rohani ibarat manusia memiliki rasa kehormatan dan kemuliaan tetapi terseksa apabila dihina serta direndahkan.

Di dalam al-Quran, Allah SWT memberi pelbagai gambaran reaksi orang yang berdosa ketika berhadapan dengan-Nya. Antaranya, mereka menundukkan kepala di hadapan Tuhan dalam keadaan malu dan hina sambil merayu.

Ketika itu mereka mengaku percaya kepada apa yang dibawa oleh rasul dan meminta dikembalikan ke dunia supaya mereka dapat melakukan semua perintah serta mengerjakan amalan baik. Bak kata pepatah, menyesal kemudian tidak berguna.

Hakikatnya, bagi siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya akan tahu batasan hukum serta memelihara diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Beruntunglah golongan ini kerana termasuk dalam kalangan ahli syurga yang bakal menikmati kemenangan yang agung.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X