Jumaat, 14 Julai 2017 | 1:16am

Penerjun ATM terjatuh atas bumbung bangunan

SEORANG penerjun ATM dibantu sekumpulan anggota selepas terjatuh di atas bumbung sebuah blok kediaman di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, tengah hari tadi. - Foto Ihsan Pembaca
SEORANG penerjun ATM dibantu sekumpulan anggota selepas terjatuh di atas bumbung sebuah blok kediaman di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, tengah hari tadi. - Foto Ihsan Pembaca

MELAKA: Seorang penerjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera kaki kanan selepas gagal mendarat dalam satu latihan terjunan di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an dilaporkan patah bahagian keting kaki kanan selepas terjatuh di atas bumbung blok kediaman di kem berkenaan.

Difahamkan, mangsa gagal mendarat di lokasi pendaratan yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor keadaan angin yang kuat.

Sumber berkata, mangsa bersama sekumpulan anggota sedang menjalani rutin latihan terjunan dari sebuah pesawat pada ketinggian kira-kira 5,000 kaki dari udara.

"Bagaimanapun, anggota tentera berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.

"Dia sudah diberi rawatan kecemasan dan kini ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, " kata sumber itu.

Sementara itu, beberapa keping gambar memaparkan seorang anggota tentera yang cedera selepas terjatuh di atas bumbung di sebuah kem mulai viral di laman Facebook, sejak malam tadi.

Berita Harian X