Rabu, 12 Julai 2017 | 9:35pm
KIPAS syiling yang jatuh di Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh. - Foto Ihsan Pembaca
KIPAS syiling yang jatuh di Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh. - Foto Ihsan Pembaca

Pelajar cedera kipas terjatuh dari siling

PELAJAR lelaki Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh, Sam Ming Hui, 18, menunjukkan luka di bahagian pipi kirinya akibat terkena bilah kipas siling yang jatuh dalam kelasnya pagi tadi. - Foto L. Manimaran
PELAJAR lelaki Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh, Sam Ming Hui, 18, menunjukkan luka di bahagian pipi kirinya akibat terkena bilah kipas siling yang jatuh dalam kelasnya pagi tadi. - Foto L. Manimaran

IPOH: Seorang pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di sini cedera di muka akibat terkena kipas yang jatuh dari siling bumbung kelasnya ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa, Sam Ming Hui, 18, yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini mengalami luka kira-kira lima sentimeter pada bahagian pipi kirinya.

Ming Hui ketika ditemui di sini berkata, dia berada di tempat duduknya di dalam kelas berkenaan terkejut apabila kipas yang berada di atas siling tiba-tiba jatuh di sisinya dan mengenai mukanya sehingga berdarah.

"Ketika itu, saya guru sedang mengajar subjek Pengajian Am dan tiba-tiba kipas terjatuh di sebelah meja. Ia berlaku dengan pantas, saya terkejut dan tergamam, saya berasa sakit dan meletakkan tisu pada muka bagi menahan darah yang keluar," katanya.

Katanya, guru kelasnya kemudian membantu membawanya ke bilik pengetua sebelum menghubungi keluarga dan kemudian dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta masih trauma dengan kejadian itu.

Pengetua sekolah berkenaan, T Gunalan berkata, juruelektrik yang memeriksa kejadian itu memaklumkan kipas berkenaan terjatuh selepas pengikat skru kipas berkenaan terpatah.

"Ketika kejadian siling yang berada di atas kipas tidak pecah tetapi ia terhempas jatuh ke lantai akibat pengikat skru di dalam kipas yang patah.

"Ini adalah kejadian pertama berlaku di sekolah ini, keselamatan pelajar memang menjadi keutamaan dan pihak sekolah memang benar-benar mengambil berat dan tidak pernah mengambil ringan aspek keselamatan serta kerap membuat penyelenggaraan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK St Micheal, Joseph Micheal Lee berkata, pihaknya sedih dengan kejadian yang menimpa pelajar terbabit dan mendoakan supaya dia segera sembuh dari kecederaan yang dialami.

"Kami akan segera menyiasat dan akan memeriksa semua penggantung kipas siling bagi memastikan semua berada dalam keadaan yang selamat," katanya.

Berita Harian X