Rabu, 12 Julai 2017 | 9:16pm

4 cedera tong gas gerai meletup

MELAKA: Empat mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas sebuah tong gas meletup dalam kejadian di sebuah gerai asam pedas di Medan Selera Semabok, di sini, petang tadi.

Kejadian jam 6.30 petang itu berlaku pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi pasar malam Semabok sehingga mengakibatkan pengunjung di pasar malam berkenaan turut panik.

Mangsa yang melecur adalah seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 42 dan 25 tahun, manakala seorang lelaki berusia 20 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan cedera ringan.

Difahamkan, pekerja gerai berkenaan kembali ke kedainya yang sudah ditutup, sebelum diberitahu peniaga bersebelahan yang terhidu bau gas.

Tong gas itu dipercayai meletup ketika seorang daripada pekerja sedang menggunakan telefon bimbit ketika memasuki gerai makan berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II Razali Che Ari, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.39 petang, sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang menempatkan sebanyak 16 gerai.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian jam 6.50 petang, anggota kita mendapatkan bantuan daripada BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil kerana khuatir kebakaran medan selera ini boleh merebak.

"Bagaimanapun, bomba dapat mengawal kebakaran 10 minit kemudian dengan kekuatan seramai 23 anggota. Setakat ini semua empat mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, saksi kejadian, Muhammad Amirul Shamsudin, 22, berkata dia melihat dua pekerja memasuki bahagian dalam kedai, sebelum tong gas berkenaan secara tiba-tiba meletup, manakala dua lagi mangsa lain berada di luar.

"Selepas letupan pertama, berlaku satu lagi letupan disusuli dengan api yang marak. Kebakaran di gerai asam pedas ini turut menjejaskan tiga gerai bersebelahannya," katanya yang juga peniaga ayam percik.

KEADAAN Medan Selera Semabok yang musnah dalam kebakaran di Semabok. - Foto Rasul Azli Samad
KEADAAN Medan Selera Semabok yang musnah dalam kebakaran di Semabok. - Foto Rasul Azli Samad
KEJADIAN jam 6.30 petang ini berlaku pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi pasar malam Semabok. - Foto ihsan pembaca
KEJADIAN jam 6.30 petang ini berlaku pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi pasar malam Semabok. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X