Sabtu, 8 Julai 2017 | 4:44pm

Perlu pertingkat koordinasi agensi di sempadan

HISHAMMUDDIN diiringi Nazari (kanan) bersalaman dengan sebahagian warga 8 Briged ketika hadirpada Sambutan Rumah Terbuka Panglima 8 Briged di Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
HISHAMMUDDIN diiringi Nazari (kanan) bersalaman dengan sebahagian warga 8 Briged ketika hadirpada Sambutan Rumah Terbuka Panglima 8 Briged di Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Agensi dan pasukan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand perlu membuat koordinasi semula bagi mengekang kegiatan penyeludupan terutama di laluan tikus.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Nazari Abdul Hadi, berkata koordinasi semula antara agensi dan pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperkemas kawalan di sempadan.

"Kawasan sempadan bukan di bawah tugasan tentera semata-mata, tapi juga membabitkan beberapa agensi lain malah tugas kami adalah menjaga keselamatan negara bukan fokus kepada penyeludupan.

"Namun begitu, apabila berlaku pergerakan keluar masuk barang seludup di kawasan tugasan, maka ia menjadi tugas kami untuk menanganinya," katanya pada Sambutan Rumah Terbuka Panglima 8 Briged di Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Nazari berkata, sepanjang 129 kilometer kawasan tugasan bermula Pengkalan Kubor hingga Jeli, ada 29 pos kawalan yang membabitkan 400 anggota tentera.

Katanya, kegiatan penyeludupan adalah mengikut musim contohnya yang terbaharu adalah seludup lembu memandangkan sudah terdapat permintaan sempena perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

"Dalam masa dua hari kami menangkap lapan lembu yang diseludup dari Thailand dengan menyeberang Sungai Golok di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang.

"Kegiatan itu dilakukan selepas Maghrib hingga awal pagi dan kami percaya selepas ini akan banyak lagi lembu seludup akan masuk ke negara ini," katanya.

Berita Harian X