Isnin, 3 Julai 2017 | 8:22pm

Bayi tertelan cincin dibenar keluar hospital

SITI Khatijah Abu Bakar, 24, (kiri) menunjukkan cincin permata saduran emas yang tertelan oleh bayi perempuannya, Nur Dahlia Aleesa Mohd Shuada berusia lapan bulan selepas cincin terbabit keluar melalui pembuangan najis ketika ditemui di rumahnya di Telok Mas. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Bayi perempuan berusia lapan bulan yang tertelan cincin permata ketika berada dalam buaian di rumahnya di Telok Mas, di sini, petang semalam sudah dibenarkan pulang dari Hospital Melaka pagi tadi.

Ia berikutan cincin bersadur emas itu keluar melalui saluran najis.

Difahamkan, bayi berkenaan, Nur Dahlia Aleesa Mohd Shuada membuang air besar kira-kira jam 8 pagi, selepas diberi makan cekodok pisang sebelum itu.

Menceritakan detik kejadian itu, ibu bayi terbabit, Siti Khatijah Abu Bakar, 24, berkata cincin berkenaan dipakaikan kepada anak bongsu daripada empat beradik itu, sebelum dia bersama ahli keluarga yang lain keluar menghadiri rumah terbuka.

"Ketika itu jam 2 petang, saya sedang siapkan abang dan kakaknya yang lain untuk menghadiri rumah terbuka di Bukit Katil, sementara Aleesa saya tidurkan di buaian.

Imej cincin permata saduran emas jelas kelihatan melalui imbasan x-ray dalam perut seorang bayi perempuan, Nur Dahlia Aleesa Mohd Shuada berusia lapan bulan sebelum cincin terbabit berjaya keluar melalui pembuangan najis. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Tidak lama selepas itu, dia menangis dan terbatuk-batuk seperti tercekik lalu saya berlari ke arahnya untuk memeriksa dan mendapati cincin di jari sudah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Siti Khatijah berkata, anak keduanya, Nur Dahniyah Qistina berusia lima tahun memaklumkan adiknya itu sudah menelan cincin terbabit selepas dia bertanyakan hal sebenar.

"Pada mulanya saya seperti tak nak percaya dan cuba korek mulut dan menekan perut Aleesa, tetapi tidak juga menemui cincin itu, termasuk di kawasan berhampiran.

"Saya dan suami, Mohd Shuada Bakar, 29, kemudian membawa Aleesa ke Hospital Melaka kira-kira jam 5 petang untuk rawatan dan ujian imbasan sinar X mengesahkan dia tertelan cincin," katanya.

Aleesa dijangka berada dalam pemantauan doktor untuk tempoh dua minggu.

Kisah Aleesa tertelan cincin tersebar di laman sosial selepas Siti Khatijah memuat naik kejadian dan gambar sinar X yang menunjukkan cincin berada dalam perut anaknya itu di laman Facebook miliknya semalam.

Berita Harian X