Isnin, 3 Julai 2017 | 5:55pm
 ANTARA passport yang dirampas selepas menumpaskan sindiket penipuan (OP Pelican-Macau Scam) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
ANTARA passport yang dirampas selepas menumpaskan sindiket penipuan (OP Pelican-Macau Scam) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

50 ahli sindiket penipuan 'Macau Scam' ditahan

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komercial, ACP Abdul Ghani Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan passport selepas menumpaskan sindiket penipuan (OP Pelican-Macau Scam) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Seramai 50 individu disyaki terbabit dalam sindiket penipuan 'Macau Scam' membabitkan kerugian RM2.7 juta ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Damai Utama, Puchong, Selangor, Sabtu lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya Pulau Pinang itu, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 17 hingga 42 tahun.

Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad, berkata siasatan pihaknya mendapati sindiket terbabit memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Katanya, sindiket akan menghubungi mangsa dan memaklumkan mereka seolah-olah memiliki tunggakan bayaran kad kredit dan pinjaman bank yang perlu dijelaskan bagi mengelak tindakan diambil.

"Mangsa yang menafikan pernah memohon kad kredit atau membuat pinjaman kemudian diarah membuat laporan kepada ahli sindiket yang menyamar sebagai polis dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

"Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang di dalam akaun milik mereka ke akaun pihak ketiga bagi mengelak ia dibekukan tanpa menyedari itu adalah taktik bagi memperdayakan mangsa," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

Difahamkan, sindiket turut memintas talian rasmi IPK Pulau Pinang bagi menghubungi dan memperdayakan sekurang-kurangnya 82 mangsa yang sudah membuat laporan polis di seluruh negara.

Abdul Ghani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X