Selasa, 27 Jun 2017 | 10:24am

Kereta terbabas, wanita Nepal maut

BANDAR BARU NILAI: Seorang wanita warga Nepal maut apabila kereta yang dipandunya bersama dua lelaki senegara, terbabas di Jalan Persiaran Ilmu, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi itu, Radhika Basnet, 30, mati di tempat kejadian, manakala dua rakannya, Bishnu Nepali dan Dong Tamang Buddha Bahadur, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata siasatan awal polis mendapati kereta Proton Wira yang mereka naiki dalam perjalanan dari arah Mantin ke Persiaran Perbandaran, hilang kawalan.

Katanya, kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Pemandu kereta maut di tempat kejadian, manakala dua penumpang cedera. Mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat dan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zaldino berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut mengambil sampel darah mangsa untuk ujian alkohol dan dadah.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Baharin Ayob Ghazali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan sebuah van Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama lapan anggota tiba di tempat kejadian pada jam 5.57 pagi dan menemui tiga orang dalam sebuah kereta.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan semua mangsa," katanya.

Berita Harian X