Rabu, 14 Jun 2017 | 3:45pm

Polis lumpuh Geng Sanco, 10 suspek ditahan

SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan Geng Sanco yang giat melakukan kegiatan samun kereta mewah dan pecah rumah, berikutan penahanan 10 suspek pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata melalui tangkapan itu, pihaknya percaya menyelesaikan kira-kira 14 kes samun berkumpulan dan melarikan kenderaan, curi kenderaan, samun dalam rumah dan melarikan kenderaan yang dilaporkan di beberapa lokasi.

"Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun, ditahan melalui Ops Cantas Khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Ampang, Serdang, Petaling Jaya dan Brickfields.

"Modus operandi Geng Sanco yang aktif sejak pertengahan 2015 ini adalah dengan melanggar kenderaan mewah yang disasarkan sebelum melakukan samun.

"Tangkapan dibuat susulan laporan seorang mangsa yang kerugian RM270,000 selepas kereta BMW miliknya dilanggar dua suspek dipercayai ahli Geng Sanco, dalam kejadian di Lebuh Raya Elite, berhampiran susur keluar ke Cyberjaya pada April lalu," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.

Tambah Aziz, suspek berkenaan turut dikesan menggunakan kereta jenis sama (BMW) ketika melakukan jenayah samun dan langgar di sekitar Selangor, termasuk di daerah ini.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan dan kami juga berjaya merampas peralatan pecah rumah serta curi kenderaan yang disyaki digunakan suspek.

"Selain itu, polis turut merampas lima buah kenderaan mewah bernilai RM2 juta, termasuk BMW 523i, Toyota Estima, Audi, Honda Civic, Volkswagen Passat dan Mercedes C200 di sekitar Selangor.

"Malah, pemeriksaan kesan cap jari di beberapa lokasi jenayah mendapati kesemua suspek turut terbabit dalam tiga lagi kes jenayah, masing-masing di daerah Seremban, Gombak dan Brickfields," katanya.

Berita Harian X