Sabtu, 20 Mei 2017 | 7:50pm

Nelayan asing ceroboh hingga ke Dungun

SEBAHAGIAN awak-awak nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Maritim 9 Negeri Terengganu.- Foto Imran Makhzan
SEBAHAGIAN awak-awak nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Maritim 9 Negeri Terengganu.- Foto Imran Makhzan

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 28 nelayan Thailand dan Vietnam serta merampas tiga buah bot bersama peralatan menangkap ikan bernilai RM1.5 juta dalam dua tangkapan berasingan.

Suspek berusia 25 hingga 57 tahun terbabit ditahan selepas dikesan tidak memiliki dokumen dan permit sah untuk melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan negara ini.

Pengarah Maritim Daerah 9 (DM9) Kuala Terengganu, Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh, berkata dalam operasi selama dua hari itu, pihaknya menahan tiga bot nelayan asing yang sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Dungun.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada jam 1.40 pagi kelmarin ketika bot nelayan terbabit berada pada jarak tiga batu nautika dari Pantai Tanjung Dara, Dungun.

tangkapan kedua membabitkan dua buah bot dilakukan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Pulau Tenggol, Dungun.

"Dalam pemeriksaan yang dijalankan Pantai Tanjung Dara itu, seramai 18 awak-awak Thailand dan Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 25 hingga 27 tahun ditahan.

"Tangkapan kedua seramai 10 orang nelayan Thailand termasuk tekong berusia antara 27 jingga 48 ditahan untuk siasatan lanjut," katanyadalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Zainolabidin berkata, dalam pemeriksaan di perairan Pulau Tenggol semalam, pihaknya memeriksa sebanyak lima buah bot dan dua daripadanya adalah bot nelayan asing manakala selebihnya adalah bot nelayan tempatan yang menggajikan nelayan asing.

Katanya, kehadiran bot kelas C milik nelayan tempatan yang menggajikan nelayan asing dikenal pasti punca timbulnya tanggapan berlaku pencerobohan tidak terkawal bot nelayan asing di perairan negara khususnya di Wilayah Timur negeri ini.

Semua nelayan terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

Berita Harian X