Sabtu, 13 Mei 2017 | 11:45pm

Remaja ditahan tunggang basikal lajak berbahaya

ENAM remaja lelaki yang ditahan selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jalan Sentul, Kluang, petang semalam. - Foto Ihsan PDRM
ENAM remaja lelaki yang ditahan selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jalan Sentul, Kluang, petang semalam. - Foto Ihsan PDRM

KLUANG: Polis menahan enam remaja lelaki yang didapati menunggang basikal lajak dalam keadaan berbahaya di Jalan Sentul di sini, petang semalam.

Semua remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun itu ditahan polis pada jam 4.30 petang kerana menunggang basikal lajak dalam keadaan mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata mereka ditahan polis yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua basikal berkenaan diubah suai dan menyalahi undang-undang.

"Basikal berkenaan disita manakala enam remaja berkenaan dibawa ke Balai Polis Trafik Kluang bagi diambil keterangan.

"Penjaga kepada enam remaja berkenaan dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum anak masing-masing dibebaskan.

"Bagaimanapun, ibu bapa remaja berkenaan diberi amaran supaya sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing," katanya.

Mohamad berkata, kes diklasifikasi mengikut Kaedah 42(1)(A) LN 166/59 iaitu Kesalahan Tiada Brek dan Loceng.

Berita Harian X