Jumaat, 14 April 2017 | 9:58am

Pegawai TLDM maut kemalangan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 7, Jalan Sitiawan-Lumut, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 7, Jalan Sitiawan-Lumut, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

MANJUNG: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan di Kilometer 7, Jalan Sitiawan-Lumut, jam 7.50 pagi tadi.

Mangsa, Leftenan Komander Mat Rozali Hussain, 49, yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta dipandu mangsa dari arah Sitiawan menghala ke Lumut.

"Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai kereta mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri dan melanggar pokok di tepi jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung menerima panggilan pada jam 8.06 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.

Katanya, anggota mengeluarkan mangsa di dalam kereta dengan menggunakan peralatan khas dan operasi tamat jam 8.38 pagi.

Berita Harian X