NILAI: Seorang lelaki warga Ukraine ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuba menyeludup masuk kokain bernilai RM759,000 ke negara ini.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Paddy Abd Halim, berkata suspek berusia 22 tahun itu ditahan pada jam 6.15 pagi Jumaat lalu, di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, KLIA.
"Pasukan kita turut merampas sebuah bagasi yang diubah suai untuk menyembunyikan tiga bungkusan dadah dipercayai jenis kokain seberat 3.795 kilogram (kg).
"Siasatan awal mendapati suspek yang membawa dadah itu dari Brazil, menjadikan Dubai dan Malaysia sebagai transit sebelum ke negara destinasi iaitu Laos," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.