KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, menahan 17 nelayan warga Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara dalam Ops Perkasa Timur, semalam.
Nelayan terbabit ditahan ketika berada pada kedudukan 16.5 batu nautika dari Pulau Tioman, pada kira-kira jam 1.45 tengah hari.
Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan Veloo, berkata bot itu menyamar sebagai bot nelayan tempatan dengan mengibarkan bendera Malaysia.
"Sebaik menyedari kehadiran pasukan peronda APMM, bot terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut terhadap bot terbabit mendapati ada sembilan kru berada di atas bot berkenaan.
"Bagaimanapun, kami mengesan lapan lagi awak-awak yang menyembunyikan diri di kargo simpanan ikan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pannir Selvan berkata, semua kru berusia 18 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan negara ini.
"Kami turut merampas lima tan ikan pelbagai jenis serta 30 kilogram sotong, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
"Kami mengesyaki kebanyakan hasil tangkapan berkenaan diperoleh dari bot nelayan tempatan yang menggajikan nelayan asing dan menjual hasil tangkapan laut kepada mereka dengan harga lebih mahal," katanya.
Menurutnya, bot terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut manakala semua kru warga asing yang ditahan dibawa ke lokap tahanan APMM Kuantan, Pahang untuk tujuan dokumentasi.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1885 dan jika sabit kesalahan, tekong bot boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang.