Ahad, 19 March 2017 | 6:29pm

5 cedera kemalangan 4 kenderaan

KAMPAR: Seorang pegawai polis parah manakala empat cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 300.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, Inspektor AK Gopi Nayar, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur yang memandu Proton Persona cedera parah manakala seorang pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara cedera.

Seorang lagi lelaki yang turut cedera adalah pemandu Honda HRV manakala pemandu lori serta seorang penumpang kereta Proton Persona masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati sebuah lori berhenti di tengah jalan selepas terbabas di tempat kejadian.

Katanya, kereta Proton Iswara dari arah Kuala Lumpur menghala Ipoh cuba mengelak lori berkenaan namun tidak berjaya dan merempuh kenderaan berat itu dari arah belakang.

"Akibat rempuhan itu, kereta Proton Iswara berpusing dua kali sebelum dirempuh pula Honda HRV dari arah sama.

"Kereta Proton Persona yang dipandu pegawai polis itu cuba mengelak ketiga-tiga kenderaan berkenaan tetapi hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera termasuk pegawai polis itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X