SERI ISKANDAR: Polis menahan dua lelaki berusia 30-an dan merampas senapang angin buatan sendiri serta 11 bebola besi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gajah, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata dalam serbuan pada jam 3.20 petang, polis menahan suspek berhubung satu kes ugutan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, pemeriksaan kemudian menemui senapang angin bersama 11 bebola besi dan satu teropong jenis Bushnell yang disorokkan dalam sebuah bilik.
"Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.
"Seorang daripada suspek mengaku memiliki senapang berkenaan dan memberi alasan digunakan untuk menembak ayam hutan.
"Siasatan masih diteruskan dan kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.