TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 7,500 karton rokok putih bernilai RM1.08 juta susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot di perairan laut Geting, awal pagi tadi.
Rampasan dibuat sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) pada jam 1.40 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pihaknya mengesan dua lelaki memunggah kotak dari bot itu ke daratan, sebelum menahan mereka.
"Sebaik diperiksa, bot berkenaan didapati penuh dengan kotak berisi 7,500 karton rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
"Kami percaya ia baru dibawa masuk dan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum memunggah rokok terbabit kepada pihak yang sedia menunggu di daratan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Amri berkata, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 35 tahun itu mendakwa baru kali pertama menjalankan kegiatan penyeludupan.