Khamis, 9 March 2017 | 6:05pm

Taktik bancuh dadah dalam minuman perisa buah dibongkar

SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki yang menggunakan taktik baharu untuk membawa dadah ke kelab malam, iaitu dengan membancuh dadah dalam paket serbuk minuman berperisa buah.

Dalam serbuan di Bandar Baru Nilai dekat sini, Sabtu lalu, serbuk minuman yang dipercayai syabu, dibancuh dengan air dan dihidangkan kepada pelanggan kelab malam itu dengan sukatan satu paket bagi setiap jag.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata setiap enam paket yang dirampas mengandungi empat gram syabu.

Selain setiap paket yang dianggarkan bernilai RM350, katanya polis turut merampas 42 biji pil eramin 5 dan 152 biji pil ecstasy daripada mereka.

"Polis masih menyiasat dari mana sumber suspek yang masing-masing berusia 19 dan 25 tahun mendapat bekalan dadah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki menunjukkan paket minuman berperisa buah yang mengandungi dadah dirampas daripada dua suspek di sebuah kelab malam di Bandar Baru Nilai. - Foto Adzlan Sidek
MUHAMAD Zaki menunjukkan paket minuman berperisa buah yang mengandungi dadah dirampas daripada dua suspek di sebuah kelab malam di Bandar Baru Nilai. - Foto Adzlan Sidek

Muhamad Zaki berkata, dua lelaki terbabit ditahan reman sehingga Sabtu ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan (2) serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, katanya polis merampas 569 gram heroin, syabu (202 gram) dan pil eramin 5 (500 biji) bernilai RM94,000 dalam satu serbuan di sebuah pondok berhampiran kuari di Nilai, kelmarin.

Katanya, polis menahan tiga lelaki berusia lingkungan 41 sehingga 44 tahun dipercayai pengedar dan menjadikan lokasi itu sebagai tempat pertemuan.

Berita Harian X