Selasa, 7 March 2017 | 7:57pm

12 penyokong Selangor didakwa merusuh

SELAYANG: Seramai 12 individu termasuk tiga remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan merusuh selepas perlawanan bola sepak Liga Super antara Selangor dan Perak, minggu lalu.

Mereka yang didakwa ialah Syed Imran Syed Mohd Kamarudin, 23; Muhammad Khairy Mohd Kamarulzaman, 18; Adam Kamarudin, 19; Amrail Danial Alias, 20; Noor Amyfarredzuan Zainal Abidin, 32; Azwan Yaacob, 25; Mohamad Mirwanyuzair Yazri, 26, dan Muhammad Hazman Mohammad, 26, selain tiga remaja lelaki berusia antara 15 dan 17 tahun.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Fadzil Fauzi, 21, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan, namun mahkamah menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan sosial.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang untuk merusuh di Jalan 2/2, Bandar Baru Selayang, di hadapan Stadium Selayang di sini, jam 11.25 malam, pada 4 Mac lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tiga remaja bawah umur diikat jamin, masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin, manakala kesemua tertuduh lain dibenarkan ikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes dan keputusan laporan sosial.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad manakala peguam Jason Singh mewakili Syed Imran, Mohamad Mirwanyuzair dan Muhammad Hazman, manakala peguam Azi Azlin bertindak bagi pihak Muhammad Fadzil.

Berita Harian X