Khamis, 23 Februari 2017 | 4:23pm

Geng Ah Heng aktif curi kenderaan lumpuh

Polis Indonesia berkata hari ini, mereka menahan dua suspek dan memburu empat lain, menambah suspek mungkin berdepan hukuman mati jika didakwa dan didapati bersalah kerana membunuh. -Foto hiasan
Polis Indonesia berkata hari ini, mereka menahan dua suspek dan memburu empat lain, menambah suspek mungkin berdepan hukuman mati jika didakwa dan didapati bersalah kerana membunuh. -Foto hiasan

JERANTUT: Kumpulan yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan di sekitar daerah Temerloh dan Jerantut sejak Oktober tahun lalu dilumpuhkan selepas dua daripada ahlinya diberkas hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, berkata kumpulan itu yang dikenali sebagai Geng Ah Heng dipercayai terbabit dalam 11 kes kecurian kenderaan jenis pacuan empat roda.

"Kita memberkas dua daripada empat ahli geng ini pada 18 Januari lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kuala Krau, dekat sini.

"Tangkapan itu dilakukan selepas pegawai dan anggota kami mengekori dua ahli kumpulan itu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dicuri di Jerantut.

"Suspek yang menyedari diekori anggota kami cuba melarikan diri sebaik tiba di rumah yang dipercayai mereka sewa itu, namun, gagal hasil tindakan pantas pegawai dan anggota kami," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, di sini, sebentar tadi.

Azid berkata, pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan jenayah mereka.

Katanya, turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Mark X yang dilaporkan hilang di kawasan Gelang Patah, Johor, awal tahun ini.

"Selain kereta Toyota Mark X itu, kita juga menemui semula sebuah kereta jenis Toyota Hilux, Toyota Wish yang dipercayai dicuri kumpulan itu.

"Kita turut merampas pelbagai barangan elektrik, beg set golf, pelbagai jenis jam tangan dan nilai barangan dirampas ialah kira-kira RM30,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua lagi ahli geng itu dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 397A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah dan mencuri.

Berita Harian X