Ahad, 12 Februari 2017 | 12:53pm

6 penyokong Harimau Kumbang ditahan

NIBONG TEBAL: Polis menahan enam penyokong fanatik yang merusuh dan membakar mercun sebaik perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Sarawak tamat di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Shafee Abdul Samad, berkata semua mereka yang berusia lingkungan 20-an ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau berkata, polis turut merampas satu kelongsong suar, 12 bebola kecil dan empat bebola bersumbu dipercayai mercun yang dimiliki enam penyokong berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, berlaku kekecohan apabila penyokong Harimau Kumbang bertindak merusuh dan melontarkan objek ke dalam stadium berikutan kekalahan Pulau Pinang 0-1 kepada Sarawak.

Difahamkan, kekecohan berpunca daripada bantahan penyokong kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, yang didakwa gagal menguruskan pasukan Harimau Kumbang yang mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

Kekecohan yang berlarutan selama 30 minit itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah untuk bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan penyokong yang berkumpul di luar stadium.

Shafee berkata, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda serius berlaku dalam kejadian berkenaan.

PENYOKONG menyalakan suar berikutan kekalahan Pulau Pinang 0-1 kepada Sarawak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, Nibong Tebal, malam tadi. - Foto BERNAMA
PENYOKONG menyalakan suar berikutan kekalahan Pulau Pinang 0-1 kepada Sarawak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, Nibong Tebal, malam tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X