Khamis, 9 Februari 2017 | 6:01pm

5 jaket keselamatan tiada kaitan bot karam

PENGARAH Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som menunjukkan jaket keselamatan yang ditemui di enam batu nautika timur laur perairan labuan, pagi tadi. - Foto Mohd Adam Arinin
PENGARAH Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som menunjukkan jaket keselamatan yang ditemui di enam batu nautika timur laur perairan labuan, pagi tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan lima jaket keselamatan yang ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pulau Mengalum, tiada kaitan dengan insiden bot karam membabitkan pelancong China, 28 Januari lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata ia termasuk satu jaket keselamatan yang ditemui di enam batu nautika timur laut perairan Labuan, jam 10 pagi tadi.

"Pengecaman semua jaket keselamatan itu sudah dilakukan oleh pemandu pelancong dari syarikat yang mengendalikan bot katamaran membawa pelancong pada hari kejadian.

"Setakat ini, semua jaket keselamatan yang dijumpai sejak 31 Januari lalu di perairan Sabah dan Brunei tidak memberi sebarang petunjuk atau kaitan dengan kehilangan mangsa bot karam," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Sepanjang operasi SAR sejak 28 Januari lalu, empat jaket keselamatan ditemui di beberapa lokasi pencarian, dipercayai ada kaitan dengan kes bot karam di perairan Pulau Mengalum.

Setakat ini, jumlah mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat insiden bot karam terbabit ialah enam orang, manakala tiga lagi masih hilang.

Berita Harian X