Ahad, 5 Februari 2017 | 11:03am

Ops Khas TBC: 27,297 motosikal diperiksa di seluruh negara

MELAKA: Sebanyak 5,481 daripada 27,297 motosikal yang diperiksa di seluruh negara dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina (TBC) 2017 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, berkata sebanyak 8,947 kesalahan dikesan tidak mempunyai lesen memandu yang mana mencatatkan angka paling tinggi iaitu 3,143 atau 35 peratus daripada kesalahan yang dikenal pasti.

PENGUATKUASA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan sekatan jalan bagi menjalankan permeriksaan serta dibantu penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2017 anjuran JPJ di Jalan Tun Ali-Jalan Panglima Awang, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
PENGUATKUASA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan sekatan jalan bagi menjalankan permeriksaan serta dibantu penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2017 anjuran JPJ di Jalan Tun Ali-Jalan Panglima Awang, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

"Antara kesalahan lain dilakukan pengguna jalan raya termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans kenderaan, tidak patuh lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar," katanya pada sidang media penutup Ops Khas Motosikal sempena TBC 2017 yang dijalankan bermula pada jam 9 malam hingga 11.30 malam di Jalan Tun Ali di sini, malam tadi.

Operasi yang dijalankan menerusi empat siri bermula 25 dan 26 Januari serta 1 Februari dan semalam itu turut dihadiri Pengarah JPJ Melaka, Fadhil Hassan; Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) AADK Melaka, Nor Azmi Satar dan Pengarah JKJR Melaka, K B Shanthini.

ANTARA pengguna motosikal lari dari sekatan jalan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2017 anjuran JPJ di Jalan Tun Ali-Jalan Panglima Awang, Melaka.
ANTARA pengguna motosikal lari dari sekatan jalan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2017 anjuran JPJ di Jalan Tun Ali-Jalan Panglima Awang, Melaka.

Operasi disertai seramai 123 anggota itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi khas yang dijalankan di Melaka malam tadi, Yusoff berkata, sebanyak 152 daripada 850 kenderaan yang diperiksa dikenakan tindakan manakala sebanyak 166 saman dikeluarkan membabitkan 218 kesalahan, termasuk empat membabitkan menunggang bawah umur.

"Sebanyak 70 dikesan memandu dan menunggang tanpa lesen, masing-masing 52 bagi LKM tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan, nombor pendaftaran (7), menunggang bawah umur (4) dan masing-masing satu kesalahan bagi lampu HID dan pamer nombor pendaftaran kenderaan lain.

"Bagi kesalahan pamer nombor pendaftaran kenderaan lain, kita akan merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak yang berkaitan bagi mengenal pasti pemilik sebenar nombor kenderaan berkenaan," katanya.

Sementara itu, AADK menahan 26 individu kerana gagal ujian air kencing, manakala JIM pula menahan dua lelaki, masing-masing seorang warga India dan Vietnam selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Berita Harian X