SABAK BERNAM: Dua unit kedai runcit dan sebuah rumah kedai di Jalan Bagan Terap, di sini, musnah terbakar awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Mohd Alhafiz Asmuni, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 3.31 pagi sebelum 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar serta Sabak Bernam dikerahkan ke lokasi.
Katanya, apabila pihaknya tiba di lokasi, ketiga-tiga unit kedai itu sudah terbakar hampir 70 peratus.
"Api berjaya dikawal tiga minit kemudian dan kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya bagi mengelakkan ia merebak ke beberapa kedai berhampiran.
"Kebakaran merebak dengan cepat berikutan struktur bangunan papan.
"Ketika kejadian, hanya seorang mangsa, seorang wanita warga Indonesia, berada dalam rumah kedai itu dan dia sempat menyelamatkan diri," katanya.
Mohd Alhafiz berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.