Rabu, 25 Januari 2017 | 2:53pm

JKM jaga kanak-kanak mangsa dera

SUNGAI PETANI 21 DECEMBER 2016. GAMBAR fail, kanak-kanak mangsa dera oleh teman lelaki kepada ibunya di Flat Paya Nahu pada 24 November lalu didukung neneknya selepas selesai prosiding permohonan hak penjagaan sementara di Mahkamah Majistret, Sungai Petani pada 21 Disember lalu. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
SUNGAI PETANI 21 DECEMBER 2016. GAMBAR fail, kanak-kanak mangsa dera oleh teman lelaki kepada ibunya di Flat Paya Nahu pada 24 November lalu didukung neneknya selepas selesai prosiding permohonan hak penjagaan sementara di Mahkamah Majistret, Sungai Petani pada 21 Disember lalu. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, November tahun lalu, diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan keputusan berkenaan selepas tempoh jagaan sementara kanak-kanak berusia empat tahun itu tamat hari ini.

Berkuat kuasa hari ini, kanak-kanak itu dipindahkan ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kanak-kanak malang itu sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan sementara JKM mengikut Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 di Rumah Kebajikan Taman Sinar Harapan, Jitra.

Dia yang berpakaian merah jambu tiba di kompleks mahkamah dengan menaiki sebuah van JKM pada jam 10 pagi sambil diiringi seorang pegawai.

Kanak-kanak itu juga dilihat memeluk erat neneknya yang menunggu di kawasan mahkamah berkenaan sejak awal pagi.

BH sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala kakaknya yang berusia empat tahun parah akibat dipukul teman lelaki ibu mereka pada 24 November tahun lalu.

Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sejak 9 November susulan penemuan mayatnya yang sudah reput dan disembunyikan dalam tong ikan di dalam biliknya.

Kejadian itu terbongkar selepas berlaku pergaduhan antara ibu mangsa yang berusia 26 tahun dengan suspek, 34, yang masing-masing positif dadah kira-kira jam 1.20 pagi sehingga memaksa campur tangan pihak polis.

Berita Harian X