Selasa, 24 Januari 2017 | 6:28pm

Bot pam, 17 enjin antara dirampas di kampung air di Kunak

ANTARA bot pam yang dirampas dalam operasi cegah jenayah IPD Kunak di Kampung Air Kunak Tiga, pagi tadi. - Foto ihsan IPD Kunak
ANTARA bot pam yang dirampas dalam operasi cegah jenayah IPD Kunak di Kampung Air Kunak Tiga, pagi tadi. - Foto ihsan IPD Kunak

KUNAK: Tujuh bot pam bersama 17 enjin adalah antara rampasan dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dalam operasi cegah jenayah di Kampung Air Kunak Tiga di sini, hari ini.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, turut dirampas ialah meja pool buatan sendiri, tiga set mahjung, dua set domino dan 14 set kad terup dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM25,000.

Masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Filipina berumur 25 dan 37 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Semua rampasan dan tangkapan dibuat susulan pemeriksaan selama tiga jam ke atas 60 rumah di penempatan itu, yang diketuai Asisten Superintendan Abbas Saud bersama sepasukan sembilan pegawai dan 36 anggota sambil dibantu 11 anggota RELA.

Pada 17 Januari lalu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah memutuskan penggunaan dan pemilikan bot pam hanya dibenarkan kepada warga tempatan sahaja.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata operasi itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan peranan pencegahan jenayah dan penyaluran maklumat kepada polis.

"Operasi berbentuk pencegahan jenayah dan rondaan, risikan dan pemeriksaan di kawasan sasaran, selain mengumpul maklumat jenayah di kawasan perkampungan air.

"Kami juga berharap operasi sebegini dapat mewujudkan suasana persekitaran selamat," katanya di sini, hari ini.

Semua barang rampasan di bawa ke IPD Kunak untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X