Jumaat, 20 Januari 2017 | 5:33pm

Wang jaminan bekas pengarah JANS, isteri dikurangkan

AWANG Mohd Tahir (tengah) diiringi anggota keselamatan selepas membuat rayuan pengurangan jaminan RM12 juta berhubung kes pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. -FOTO NSTP/Malai Rosmah Tuah
AWANG Mohd Tahir (tengah) diiringi anggota keselamatan selepas membuat rayuan pengurangan jaminan RM12 juta berhubung kes pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. -FOTO NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini, hari ini, membenarkan rayuan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, untuk pengurangan jaminan daripada RM12 juta kepada RM6 juta.

Ia berkaitan 33 tuduhan dihadapi mereka kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59.1 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ravinthran Paramaguru, membenarkan jaminan dikurangkan selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Anas Mahadzir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam PJ Pereira.

"Bagi tertuduh pertama iaitu Awang Mohd Tahir, mahkamah mengurangkan jaminan daripada RM10 juta kepada RM5 juta dengan memerintah tertuduh membayar deposit RM2 juta serta dua penjamin tempatan.

"Mahkamah turut mengurangkan jaminan kepada Fauziah daripada RM2 juta kepada RM1 juta dengan tertuduh diperintahkan membayar RM500,000 dengan dua penjamin tempatan. Kedua-dua tertuduh juga hendaklah melaporkan diri kepada SPRM dua kali sebulan," katanya.

Pada 29 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan nilai jaminan RM10 juta terhadap Awang Mohd Tahir yang didakwa atas 12 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur kerajaan sebanyak RM56.9 juta.

Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad turut menetapkan wang jaminan RM2 juta kepada Fauziah yang berdepan 19 pertuduhan memiliki wang tunai berjumlah RM2.2 juta dan pelbagai barangan kemas dan perhiasan.

Pasangan suami isteri itu turut menghadapi dua tuduhan bersama, masing-masing memiliki barang perhiasan, iaitu 575 jenis emas dan 346 jenis bukan emas.

Berita Harian X