Selasa, 17 Januari 2017 | 3:33pm

Anggota FRU ditahan kes dadah

KOTA BHARU: Seorang anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan kerana memiliki dadah di Pasir Puteh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Berangan Bukit Abal, Pasir Puteh, pada jam 12.30 pagi.

"Hasil serbuan mendapati suspek mencampakkan kotak yang berisi 69 biji pil kuda ke luar tingkap bagi mengelakkan ditahan," katanya kepada pemberita di Kampung Pulau Pisang, dekat sini, hari ini.

Ab Rahman memaklumkan pemeriksaan lanjut menjumpai satu kotak rokok jenama SAAT yang didalamnya terdapat satu balutan plastik cerah berisi ketulan mampat daun kering warna kehijauan disyaki dadah jenis ganja.

"Turut ditemui satu foil aluminium berisi dua biji pil disyaki dadah jenis Eramin 5.

"Ujian air kencing dilakukan turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Ab Rahman memaklumkan suspek yang berusia 28 tahun itu bertugas di Pulau Pinang dan turut mempunyai dua rekod lampau.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X