Rabu, 28 Disember 2016 | 8:31pm

Polis cari lelaki tunjuk isyarat lucah

Lelaki yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pemandu wanita di lorong Tambah Nilai Touch & Go, Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong, Subang Jaya, semalam.
Lelaki yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pemandu wanita di lorong Tambah Nilai Touch & Go, Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong, Subang Jaya, semalam.

SUBANG JAYA: Polis Daerah Subang Jaya sudah menerima laporan berhubung tindakan seorang pemandu yang menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita di Plaza Tol, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), di sini, sekitar jam 10.45 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit yang memandu sebuah kereta PERODUA Myvi, dilaporkan menunjukkan isyarat lucah kepada wanita terbabit yang membunyikan hon kepadanya selepas cuba memotong barisan di lorong Tambah Nilai Touch & Go, plaza tol berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan menunjukkan isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang.

"Selepas pengadu (wanita) membuat laporan kertas siasatan dibuka dan sehubungan itu kami menyeru supaya individu terbabit (pemandu lelaki) tampil bertemu dengan Inspektor Mohd Azimi Azman di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

"Pihak polis turut mengalu-alukan sebarang maklumat lain daripada orang ramai yang mengetahui latar belakang dan identiti lelaki itu," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan yang turut menjadi viral dalam laman sosial Facebook, seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai lelaki terbabit mendakwa sudah memberikan isyarat dan mengangkat tangan tanda hormat bagi meminta laluan.

Namun wanita itu terus membunyikan hon sehingga memaksa dia keluar dari keretanya dan bertindak menunjukkan isyarat lucah.

Berita Harian X