Rabu, 21 Disember 2016 | 1:59pm

Budak mangsa dera diletak bawah jagaan JKM

KANAK-KANAK mangsa dera didukung neneknya selepas selesai prosiding permohonan hak penjagaan sementara di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam
KANAK-KANAK mangsa dera didukung neneknya selepas selesai prosiding permohonan hak penjagaan sementara di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

SUNGAI PETANI: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menjadi mangsa penderaan di Flet Paya Nahu di sini, bulan lalu, kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Izham Ali, selepas berlangsungnya perbincangan ahli keluarga sebelah ibu kanak-kanak berkenaan dan Penolong Pegawai JKM Kuala Muda, Noorliza Azizul.

Prosiding berlangsung 10 minit dalam kamar Mohd Izham di Mahkamah Sungai Petani di sini, hari ini.

Mohd Izham memutuskan kanak-kanak itu ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak di Jitra, dekat sini sementara menunggu laporan penjaga disiapkan JKM.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Januari depan untuk pembentangan laporan penjaga oleh JKM bagi mengenalpasti penjaga yang berkelayakan daripada kalangan keluarganya.

November lalu, kanak-kanak itu dijumpai dengan pelbagai kecederaan teruk, manakala mayat adik lelakinya yang berusia dua tahun ditemui berbungkus selimut dan disembunyikan dalam tong ikan di sebuah bilik di Flet Paya Nahu.

Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun dan ibu mangsa berumur 24, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 325 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan.

Berita Harian X