Jumaat, 9 Disember 2016 | 4:04pm

Peniaga rokok elektronik didenda RM1,200

MEOR Sukri Meor Osman (kanan) didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual cecair perisa rokok elektronik mengandungi racun nikotin, tahun lalu. - Foto L Manimaran
MEOR Sukri Meor Osman (kanan) didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual cecair perisa rokok elektronik mengandungi racun nikotin, tahun lalu. - Foto L Manimaran

IPOH: Seorang peniaga rokok elektronik atau vape didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual cecair perisa rokok elektronik mengandungi racun nikotin, tahun lalu.

Meor Sukri Meor Osman, 39, didenda RM600 bagi setiap pertuduhan memiliki dan menjual cecair perisa berkenaan dan turut berdepan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang kini menjalankan perniagaan makanan ringan dituduh memiliki 14 botol mengandungi lima perisa cecair vape mengandungi nikotin di premis perniagaan miliknya di Meru Impian Enterprise beralamat di 9A, Jalan Ampang Baru 6C, Pusat Perdagangan Ampang Baru di sini, jam 3.20 petang, 5 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 13(b) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menjual racun nikotin tanpa kebenaran dan lesen sah kepada Muhamad Syukri Baharuddin melalui Meor Mohamad Zakuan Meor Osman pada jam 3 petang pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan  hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Cawangan Penguatkuasa Farmasi Perak, Mohd Faiz Abdullah Sani di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon kepada mahkamah supaya memberikan hukuman denda yang minimum kerana ia kesalahan pertama dilakukan tertuduh selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda yang dikenakan.

Berita Harian X