Khamis, 1 Disember 2016 | 5:16pm

2 ditembak mati selepas cuba serang polis

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusuf menunjukkan pistol dan parang yang dirampas daripada suspek dalam kejadian tembak di Jalan Setul Broga pada sidang media di IPK Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusuf menunjukkan pistol dan parang yang dirampas daripada suspek dalam kejadian tembak di Jalan Setul Broga pada sidang media di IPK Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Dua penjenayah ditembak mati selepas kereta yang mereka naiki dikejar sejauh kira-kira enam kilometer oleh pasukan polis di Jalan Setul-Broga, dekat sini, malam tadi.

Mereka yang menaiki kereta Honda Accord dikesan oleh pasukan Bahagian Jenayah Berat Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Jalan Mantin-Seremban, kira-kira jam 9.30 malam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusuf, berkata tiga buah kereta polis cuba menghentikan kereta penjenayah terbabit, tetapi mereka melarikan diri dengan kereta dipecut laju melalui Jalan Setul-Broga.

Katanya, penjenayah terbabit juga melepaskan tembakan berdasarkan percikan api dari kereta mereka, tetapi tersasar, selain cuba melanggar kereta polis.

"Di satu selekoh tajam, kereta penjenayah terbabit terbabas dan kereta polis dapat menyekat pergerakan kereta mereka.

"Penumpang yang bersenjatakan pistol Baretta PX4 Storm dan pemandu yang menggunakan parang cuba menyerang sebaik keluar dari kereta, tetapi anggota polis berjaya menembak mereka," katanya dalam sidang media di IPK, hari ini.

Jaafar berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui empat kelongsong peluru berhampiran mayat lelaki itu serta serta empat kelongsong dalam kereta, manakala sebutir peluru dalam senjata api itu.

Katanya, polis sedang berusaha mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dengan seorang daripada mereka tidak mempunyai parut suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

Beliau berkata, mereka dipercayai terbabit dalam empat kes samun di Nilai, membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM83,000.

Berita Harian X