Khamis, 17 November 2016 | 3:01pm

10 kali sehari ke stesen kumpul minyak seludup

ANGGOTA PPM merampas 20 tong petrol yang dimuatkan di dalam sebuah kenderaan di pangkalan haram Kampung Tebing, di sini pagi tadi - PIX Ihsan PPM
ANGGOTA PPM merampas 20 tong petrol yang dimuatkan di dalam sebuah kenderaan di pangkalan haram Kampung Tebing, di sini pagi tadi - PIX Ihsan PPM

TUMPAT: Penyeludup sanggup berulang-alik lebih 10 kali sehari ke stesen minyak bagi memenuhi tangki kenderaan sebelum diisi semula ke dalam tong di rumah, untuk diseludup ke Thailand.

Itu modus operandi terbaru penyeludup petrol bagi mengabui mata pihak berkuasa, selain mengubah suai tangki kenderaan.

Selepas semua tong penuh, petrol itu kemudian dibawa ke tebing sungai di pangkalan haram sekitar tebing Sungai Golok, untuk dipunggah menggunakan bot.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Asistan Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata dalam kejadian terbaru, sebanyak 20 tong yang berisi 600 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM1,170 dirampas di pangkalan haram Kampung Tebing, di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 7.30 pagi tadi, sepasukan anggota daripada Unit Risik Marin (URM) menemui sebuah kereta yang ditinggalkan, dengan pintu tidak berkunci di pangkalan haram itu.

"Hasil pemeriksaan di tempat duduk belakang dan dalam but kenderaan, terdapat muatan tong dipercayai mengandungi minyak petrol yang cuba diseludup ke Thailand.

"Selepas menunggu kira-kira 10 minit, tiada sesiapa tampil mengaku sebagai pemilik kenderaan itu sebelum kami membawa barang rampasan ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Keterangan gambar:

Anggota PPM merampas 20 tong petrol yang dimuatkan di dalam sebuah kenderaan di pangkalan haram Kampung Tebing, di sini, pagi tadi.

Berita Harian X