Rabu, 16 November 2016 | 6:05pm

Ular sawa 30kg sembunyi dalam bilik

SEEKOR ular sawa batik seberat 30 kilogram ditangkap di dalam sebuah bilik yang menempatkan 12 kucing di sebuah rumah peniaga ayam di Pasir Tumboh, Kota Bharu. - Foto ihsan IRDK
SEEKOR ular sawa batik seberat 30 kilogram ditangkap di dalam sebuah bilik yang menempatkan 12 kucing di sebuah rumah peniaga ayam di Pasir Tumboh, Kota Bharu. - Foto ihsan IRDK

KOTA BHARU: Seorang peniaga ayam dikejutkan dengan kehadiran ular sawa batik seberat 30 kilogram di dalam sebuah bilik yang menempatkan 12 kucingnya, di rumahnya di Pasir Tumboh, malam tadi.

Peniaga ayam, Rosni Sirak, 41, berkata kejadian itu disedarinya sebaik saja bangun daripada tidur untuk memberi makanan kepada kucingnya di bilik berkenaan kira-kira jam 11 malam.

"Pada mulanya saya melihat kesemua 12 kucing berada di dalam sangkar sebelum seekor daripadanya bertindak keluar dan naik ke atas almari kayu berhampiran.

"Kucing saya yang dipanggil 'Pilo' itu duduk di atas almari berkenaan dan saya memanggilnya supaya turun dan pada masa sama saya terkejut apabila melihat ekor ular sawa batik di dalam almari terbabit.

"Melihat keadaan itu saya terus bergegas memanggil pembantu rumah, sebelum menghubungi suami yang ketika itu sedang mengajar al-Quran di Pasir Hor," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosni berkata, setengah jam kemudian suaminya, Mohd Zamri Mohd Zain, sampai ke rumah dan membawa seorang rakannya yang juga seorang anggota polis yang tinggal di Pasir Tumboh untuk menangkap ular terbabit dengan menggunakan peralatan khas.

"Setengah jam kemudian, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu datang untuk mengambil ular terbabit sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Berita Harian X