Khamis, 3 November 2016 | 3:29pm
PDRM logo
PDRM logo

Polis selamatkan 4 lelaki Bangladesh kena kurung di Jelebu

SEREMBAN: Empat lelaki warga Bangladesh yang dikurung sejak Isnin lalu oleh dua lelaki warga tempatan berjaya diselamatkan polis, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof, berkata semua mangsa dikurung di sebuah rumah di Simpang Pertang, Jelebu.

Katanya, kejadian berlaku selepas seorang daripada mangsa berumur 21 tahun diajak beberapa lelaki datang ke negeri ini bagi mencari pekerjaan.

"Mangsa kemudian mengajak tiga rakannya berumur 28, 35 dan 40 tahun, bersama-sama datang ke negeri ini. Mereka kemudian dibawa ke sebuah rumah, tetapi dikurung dan dipaksa menghubungi keluarga supaya menyerahkan wang kepada suspek.

"Keluarga mangsa terpaksa memasukkan wang RM4,000 dalam satu akaun bank secara berperingkat. Bagaimanapun, abang kepada seorang daripada mangsa yang bekerja di Perak, membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya di sini, hari ini.

Norazman berkata, polis kemudian menjalankan siasatan dan berjaya mengesan tempat mangsa dikurung, lalu melakukan serbuan kira-kira jam 9.18 malam dan menahan dua lelaki berusia 19 dan 37 tahun.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan kerana pengurungan secara salah untuk memeras harta.

Berita Harian X