Isnin, 31 Oktober 2016 | 9:02am

Dua maut kereta terjunam ke parit

PETRA JAYA: Dua maut manakala lima cedera termasuk seorang parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke parit di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakop di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu ialah penumpang kereta jenis Proton Saga yang dikenali sebagai Nizam Farizan Abdul Malik dan Dayang Persih Awang Latip.

Bagaimanapun umur kedua-kedua mangsa yang dipercayai sekeluarga, belum dapat dipastikan.

MANGSA didapati tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.
MANGSA didapati tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga, berkata pemandu kereta berkenaan, Awang Marjuki Awang Latip, 29, yang juga anggota polis cedera parah. 

Beliau berkata, empat lagi penumpang termasuk tiga beradik pula mengalami kecederaan. Mereka ialah Zulkepli Abdullah, 19; Asmada Abdul Malik, 16; Nor Tasha Ayuni Abdul Malik, 15 dan Nor Fatin Abdul Malik, 21.

"Nahas berlaku berdekatan dengan bulatan Datuk Abang Kipali dan mereka dikatakan baru keluar dari sebuah restoran untuk balik ke Landeh.

"Kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

IMPAK pelanggaran menyebabkan kenderaan terbabit remuk teruk.
IMPAK pelanggaran menyebabkan kenderaan terbabit remuk teruk.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.58 malam dan sebuah jentera serta sebuah kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kita mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan hidraulik. Kedua-dua mangsa yang tersepit itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

"Operasi tamat pada jam 11.54 malam dan semua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak," katanya.

DUA mangsa yang terbunuh selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke parit berhampiran Pusat Perubatan Pakar Normah, di Petra Jaya, malam tadi.
DUA mangsa yang terbunuh selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke parit berhampiran Pusat Perubatan Pakar Normah, di Petra Jaya, malam tadi.
Berita Harian X