Rabu, 26 Oktober 2016 | 3:36pm

1 Dis sebutan semula kes Pengerusi MyWatch

PENGERUSI Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan (kanan), sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur, atas tuduhan menggunakan dua sijil akademik palsu sehingga mendorong seorang pengarah syarikat menawarkan jawatan kepadanya dan wang RM95,000, tiga tahun lalu. - Foto Sairien Nafis
PENGERUSI Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan (kanan), sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur, atas tuduhan menggunakan dua sijil akademik palsu sehingga mendorong seorang pengarah syarikat menawarkan jawatan kepadanya dan wang RM95,000, tiga tahun lalu. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret, di sini, menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan, yang menghadapi pertuduhan menipu dengan memalsukan kelayakan akademiknya, tiga tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menetapkan tarikh itu selepas peguam Joanne Chua Tsu Fay, yang mewakili Sanjeevan, 32, memohon tempoh untuk meneliti dokumen berkaitan kes itu yang diterimanya daripada pihak pendakwaan hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, Sanjeevan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang pengarah syarikat, S Sivam, 53, dengan mendakwa dirinya memiliki ijazah undang-undang dan perniagaan dari Northumbria University dan satu lagi dari Camden University, bagi melantiknya sebagai perunding perniagaan dengan Solid Transactions Sdn Bhd.

Tindakan Sanjeevan itu menyebabkan Sivam menyerahkan lebih RM95,000 kepadanya.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menipu Sivam dengan mempercayai dia memiliki dua ijazah undang-undang dan perniagaan daripada universiti sama bagi melantiknya sebagai perunding perniagaan di syarikat sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cheras Leisure Mall, Taman Segar, Cheras, di sini pada 1 Jun 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa. - BERNAMA

Berita Harian X