Ahad, 23 Oktober 2016 | 5:54pm

Geng Mat Mi direman hingga Selasa

MARANG: Dua penjenayah kes pecah rumah dan curi kereta dikenali sebagai Geng Mat Mi yang ditahan polis pada Sabtu minggu lalu, direman sehingga Selasa ini untuk siasatan.

Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang kontraktor, memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan dua kenderaan miliknya, jenis Mercedes Benz dan Toyata Hilux, bernilai keseluruhan RM230,000 dilarikan pada jam 5.46 pagi, pada 15 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisoner Wan Abd Aziz Wan Hamzah pada sidang medianya hari ini, berkata pada kira-kira jam 1.30 tengah hari yang sama, anggota Peronda Lebuhraya mengesan sebuah Mercedes Benz di Taman Aquarius, di sini dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati cukai jalan kereta itu sudah tamat lalu anggota Peronda Lebuhraya cuba menahan pemandunya, tetapi suspek memecut meninggalkan lokasi.

"Kereta itu kemudian dijumpai ditinggalkan di tapak pembinaan berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dan hasil semakan mendapati ia dilaporkan dicuri di Terengganu.

"Pada 18 Oktober, dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 39 tahun ditahan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor, bersama Toyota Hilux di satu kawasan di Subang Jaya, pada jam 6.30 petang," katanya.

Berita Harian X