Khamis, 20 Oktober 2016 | 6:11pm

Pelajar ceroboh makmal, pecahkan termometer

TUMPAT: Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut, di sini, menceroboh masuk ke makmal sains sekolah dan memecahkan 30 termometer di sekitar sekolah.

Difahamkan kumpulan yang lebih 15 orang itu memecahkan termometer terbabit sehingga mengeluarkan cecair raksa yang berselerak di beberapa tempat di sekolah berkenaan.

Kejadian pada Selasa lalu itu dipercayai dilakukan pelajar Tingkatan Dua sekolah berkenaan yang memasuki makmal sekolah tidak lagi digunakan tanpa pengetahuan guru dan mengambil peralatan itu untuk bermain.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Azlan Zainal, ketika dihubungi berkata, kejadian itu disedari seorang guru yang memasuki makmal terbabit dan mendapati banyak serpihan kaca berterabur di lantai dan segera memaklumkan kepada pihak bomba.

"Kami menerima panggilan pada jam 12.16 tengah hari tadi dan tiba ke makmal berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.

"Seramai sembilan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), termasuk seorang anggota bomba sukarela dari Balai Bomba Kota Bharu terbabit dengan operasi pembersihan bahan kimia itu," katanya.

Anggota HAZMAT mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membersihkan beberapa kawasan yang terdapat serpihan kaca termometer iaitu di makmal, tapak perhimpunan dan satu bilik darjah.

"Lima pelajar lelaki yang terbabit dengan kejadian itu dibawa ke Klinik Desa Sungai Pinang, di sini untuk menerima rawatan kerana dikhuatiri ada menyentuh bahan kimia itu," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kampung Laut, Jamari Othman, berkata pihak sekolah akan menyiasat insiden itu.

"Kita akan memanggil pelajar yang menceroboh masuk ke makmal berkenaan dan tindakan akan diambil jika mereka didapati bersalah," katanya.

Berita Harian X