Rabu, 12 Oktober 2016 | 3:15pm

Pekerja stesen minyak dituduh lakukan kekerasan terhadap polis

AYER KEROH: Seorang pekerja stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis yang menjalankan tugas, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhamad Shazwan Abd Ghani, 23, dari Taman Peringgit Jaya, dekat sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Dia didakwa dengan niat menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Lans Koperal Amirzy Abd Hamid, yang sedang menjalankan tugas di Balai Polis Melaka Tengah, pada jam 2.30 pagi, 9 Oktober.

Muhamad Shazwan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashraf Abd Hamid menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh menerusi peguamnya, Ishak Kari memohon denda dikurangkan dengan alasan Muhamad Shazwan hanya berpendapatan RM1,000 serta menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November ini untuk serahan dokumen.

Berita Harian X