Rabu, 28 September 2016 | 9:57am

Wanita lumpuh mati disyaki ditetak anak sendiri

RUMAH wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh anak sendiri di Kampung Baru Air Kuning, Tapah.
RUMAH wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh anak sendiri di Kampung Baru Air Kuning, Tapah.

TAPAH: Seorang wanita lumpuh ditemui mati, dipercayai ditetak anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di Kampung Baru Air Kuning, di sini malam tadi.

Mayat Low Kew @ Low Kin Kiew, 74, ditemui kira-kira jam 7.20 malam di atas kerusi rehat di dapur rumah berkenaan dengan kesan tetakan pada leher dan muka.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata polis yang menerima laporan penemuan mayat itu, bergegas ke lokasi.

Katanya, pemeriksaan polis menemui sebilah pisau pemotong daging dan pisau kecil yang patah dengan darah di lantai dan kerusi serta percikan darah pada dinding dan peti sejuk berhampiran mayat.

"Polis menahan suspek berusia 55 tahun serta merampas pakaian dan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pekebun kelapa sawit dan tinggal berdua bersama ibunya yang lumpuh," katanya.

Katanya, suspek dipercayai penagih dadah dan ketika ditahan lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

"Polis akan mendapatkan perintah menahan reman lelaki itu hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X