X
Rabu, 17 Ogos 2016 | 5:31pm

Khayal ganja, pasangan tinggalkan lori

KETUA Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas daripada seorang pemandu lori yang memandu dibawah pengaruh dadah. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap
KETUA Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas daripada seorang pemandu lori yang memandu dibawah pengaruh dadah. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BANDAR SERI JEMPOL: Rahsia kehilangan seorang pemandu lori dan teman wanitanya selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Batu Kikir dekat sini, terjawab apabila polis menemui dadah di rumah sewa mereka, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lori empat tan tanpa muatan yang dipandu lelaki berumur 31 tahun dan ditemani seorang wanita berusia 37 tahun, melanggar belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu.

Pasangan terbabit yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, meninggalkan lori itu dan dipercayai bersembunyi di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Perah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata anggota polis mengesan mereka dan pergi ke rumah itu kira-kira jam 4 petang.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui satu paket plastik berisi tumbuhan kering dan mampat dipercayai ganja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, hasil ujian air kencing mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X