Khamis, 11 Ogos 2016 | 3:45pm
PPM Pengkalan Kubor rampas 40 tong mengandungi minyak diesel.
PPM Pengkalan Kubor rampas 40 tong mengandungi minyak diesel.

40 tong minyak diesel dirampas

PPM Pengkalan Kubor rampas 40 tong mengandungi minyak diesel.
PPM Pengkalan Kubor rampas 40 tong mengandungi minyak diesel.

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 40 tong yang mengandungi minyak diesel dipercayai untuk diseludup ke Thailand, menerusi serbuan di Kampung Telaga Lanas, di sini, pagi tadi.

Serbuan jam 10.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) di sebuah premis di kampung berkenaan, hasil risikan yang dilakukan pihaknya sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abdul Rahman, berkata hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan menemui 40 tong minyak diesel yang setiap satunya mengandungi 30 liter.

"Tong berkenaan ditutup dengan kanvas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam tempoh terdekat. Sebanyak 1,200 liter minyak diesel berkenaan dirampas menerusi serbuan berkenaan.

"Hasil rampasan itu dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut. Kita percaya kegiatan itu dilakukan sekumpulan individu yang juga penduduk setempat," katanya.

Ahmad Amri berkata, pihaknya akan pertingkatkan kawalan bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sekitar kawasan sempadan itu.

Berita Harian X